Sukan SEA: Luqman Hakim Terus Ledak Gol, Malaysia Sekadar Seri Berdepan Singapura

Skuad kebangsaan bawah 23 (B-23) gagal meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Sukan SEA setakat ini apabila terikat seri 2-2 bersama Singapura di Stadium Thien Truong sebentar tadi hasil jaringan Luqman Hakim Shamsuddin pada minit ke-4 dan minit ke-82 menerusi Faiz Amer.

Dalam aksi tersebut jelas Malaysia mempamerkan rentak permainan yang lebih baik di segenap posisi untuk menguasai permainan berbanding lawan yang hanya hadir sesekali menerusi situasi serangan balas.

Lebih manis, Luqman berjaya merekodkan jaringan peribadi beliau yang ketiga setakat ini sepanjang kejohanan berlangsung serta Malaysia masih lagi kukuh selaku pendahulu carta liga dengan 7 mata penuh dikumpul.

Permainan yang agak panas ini juga menyaksikan ada beberapa situasi perbalahan yang berlaku membabitkan skuad muda kebangsaan bersama pemain Singapura sehingga menyebabkan ada layangan kad kuning berlaku.

Luqman berjaya membuka tirai jaringan buat Malaysia seawal minit ke-4 setelah kesilapan pertahanan Singapura untuk mengeluarkan bola dengan lebih baik dalam petak penalti sebelum diambil peluang penyerang muda tersebut meledak gol ketiga beliau sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Tidak lama selepas itu, Singapura kembali menyamakan kedudukan untuk terus merancakkan permainan menerusi Shah Shahiran pada minit ke-7 hasil kesilapan pertahanan skuad kebangsaan yang mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan bola.

Danial Asri hampir menambah jaringan kedua buat Malaysia setelah menerima umpanan cantik daripada Luqman Hakim pada minit ke-24 sebelum dinafikan oleh penjaga gol Singapura.

Luqman terlepas satu peluang yang terhidang luas buat beliau apabila gagal mencatat gol kedua buat skuad kebangsaan walaupun hanya berdepan penjaga gol setelah menerima umpanan cantik pada minit ke-32.

Separuh masa kedua menyaksikan Hadi Fayyadh dan Azfar Fikri dibawa masuk Maloney bagi memperkuatkan jentera serangan Malaysia untuk memburu gol pendahuluan setelah terikat seri di separuh masa pertama dengan masing-masing meledak satu gol.

Singapura hampir mengejutkan Malaysia menerusi penyerang mereka iaitu Glenn Queh setelah pertahanan Malaysia yang sedikit lalai untuk mengesan lebih awal larian pemain tersebut sebelum rembatan yang dibuat sedikit melambung jauh ke atas pada minit ke-75.

Singapura berjaya meledak gol kedua mereka menerusi sepakan percuma yang diambil Shah Shahiran pada minit ke-77 sebelum disambar baik oleh Harhys Stewart yang menewaskan Azri Ghani buat kali kedua.

Faiz Amer kembali menyemarakkan kem Malaysia apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-82 menerusi situasi sepakan sudut dan disambut kemas oleh pemain tersebut untuk menanduk terus ke dalam gawang gol.

Keputusan perlawanan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan walaupun Malaysia meningkatkan asakan pada penghujung perlawanan untuk mencari gol kemenangan.

Malaysia bakal bertemu Kemboja untuk perlawanan penentuan selepas ini pada 16 Mei untuk melihat keputusan akhir siapa yang bakal layak melangkah ke peringkat seterusnya.

Ikuti kami di TikTok!

Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.

Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!

Leave a Reply