Masa Kecederaan Terlampau Panjang? Ini Penjelasan Mengenainya

Isu berkaitan masa kecederaan sememangnya sentiasa menjadi topik perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak sejak sekian lama.

Lebih-lebih lagi, andai ada jaringan yang mengubah keputusan perlawanan berjaya dihasilkan pada aksi masa kecederaan itu, ia jelas sekali bakal mencetuskan kontroversi dalam kalangan peminat.

Walau bagaimanapun, ada perbezaan antara tambahan masa dan masa kecederaan yang peminat perlu fahami.

Jangan terkeliru

Tambahan masa sering digunakan ketika aksi di peringkat kalah mati, dengan kedua-dua pasukan akan beraksi hingga ke aksi tambahan masa seandainya keputusan kekal seri sebelum ke aksi penentuan sepakan penalti.

Masa kecederaan pula merupakan tambahan masa yang diberikan oleh pengadil untuk setiap kedua-dua babak selepas mengambil kira beberapa faktor yang boleh menyebabkan tambahan masa diberikan.

Ia seolah-olah menggantikan semula masa yang terbuang atas beberapa faktor selepas tamat 90 minit permainan.

Kebiasaannya pengadil akan memberikan tambahan masa dua ke tiga minit untuk perlawanan yang tidak berdepan begitu banyak masalah.

Sebaliknya, untuk perlawanan yang kerap terhenti, pengadil akan memberikan lebih lama masa kecederaan sebelum meniupkan wisel penamat.

Apakah faktor-faktor yang akan diambil kira oleh pengadil sebelum memutuskan berapa minit tambahan masa perlu diberikan?

Pertukaran pemain/kecederaan

Sebarang insiden melibatkan kecederaan pemain hingga menyebabkan pertukaran pemain perlu dilakukan, hal itu akan memainkan faktor terpenting dalam mempengaruhi keputusan pengadil untuk memberi tambahan masa.

Pemain memBuang masa

Kebiasaannya untuk pasukan yang sudah mendahului, tindakan ini akan dilakukan agar keputusan kekal memihak mereka hingga tamat perlawanan.

Hal itu sebenarnya turut menjadi faktor mengapa pengadil perlawanan memberikan masa tambahan yang agak panjang dalam sesebuah perlawanan itu.

Walaupun buang masa ini merupakan hal paling tidak digemari oleh para peminat, namun harus diakui yang ia juga merupakan sebahagian dari taktikal dalam bola sepak.

Namun seandainya sesebuah pasukan itu terlalu berlebih-lebihan, maka kerana itulah masa kecederaan permainan juga semakin panjang.

Pemain menerima rawatan

Pengadil kebiasaannya akan berikan satu minit untuk pemain diberikan rawatan atau minum air ketika perlawanan terhenti.

Seandainya sesebuah pasukan itu mengambil masa yang lebih lama, maka hal itu turut akan memainkan peranan tentang berapa minit masa kecederaan akan diberikan.

Pemeriksaan dilakukan VAR

Perlawanan jelas sekali akan terhenti andai pengadil perlawanan mahu memeriksa keputusan Video Assistant Referee (VAR) dan ia kadang kala mengambil masa yang agak panjang.

Pengadil perlawanan akan mengambil kira hal tersebut dalam membuat keputusan untuk menambah masa ketika tamat aksi 90 minit.

Keraian gol keterlaluan

Para pemain kebiasaannya akan mencuri masa lebih lama ketika meraikan gol, terutama ketika mereka sedang mendahului perlawanan.

Walau bagaimanapun, pengadil perlawanan akan mengambil kira masa terbuang pada ketika itu dan menggantikannya selepas tamat masa sebenar permainan.

Rekod masa kecederaan paling panjang

Terlalu banyak sebenarnya rekod yang ada berkait masa kecederaan permainan yang terlalu panjang dalam sejarah dunia bola sepak ini.

Dalam satu perlawanan yang menemukan Algeria bertemu Qatar di peringkat separuh akhir Piala Negara Arab , pengadil perlawanan pada ketika itu memberikan tambahan masa selama 20 minit sebelum meniup wisel penamat.

Algeria ketika itu dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-16 masa kecederaan seterusnya mereka berjaya memperoleh gol kemenangan untuk layak ke perlawanan akhir.

Perlawanan tersebut berakhir pada minit ke-110 dan hal itu jelas sekali telah mencetuskan kontroversi di kalangan peminat.

Ramai yang menuduh pengadil membela Algeria, namun tanpa mereka sedar perlawanan tersebut kerap terhenti atas pelbagai gangguan.

Tidak kira di mana sekalipun, undang-undang bola sepak tetap sama, cuma kadang kala memang ada pengadil yang acuh tak acuh dalam mengambil kira hal-hal seperti itu.

Ada pengadil yang tidak gemar memberikan masa kecederaan yang terlalu lama dan hanya akan memberikan tambahan masa singkat sahaja sebelum meniup wisel penamat.

Walau bagaimanapun, ada juga pengadil yang akan mengambil kira semua faktor tersebut, dan terpaksa memberikan masa kecederaan yang agak panjang.

Leave a Reply