Piala AFF: Chanathip & Thailand ‘Hajar’ Indonesia Erti Permainan Berkelas Sebenar

Thailand Chanathip Songkrasin Indonesia

Dua gol daripada Chanathip Songkrasin dan satu gol oleh Supachok Sarachat dan Bordin Phala memberikan kelebihan besar buat Thailand apabila menang 4-0 ke atas Indonesia di final pertama Piala AFF Suzuki 2020.

Thailand membuat rombakan di benteng pertahanan selepas kehilangan dua pemain akibat penggantungan dan kecederaan iaitu Manuel Bihr dan Theerathon Bunmathan dan memasukkan Philip Roller dan Tristan Do selain menyenaraikan Elias Dolah yang tidak beraksi dalam dua aksi separuh akhir berdepan Vietnam.

Indonesia juga merombak senarai pemain walaupun hanya kehilangan Pratama Arhan akibat penggantungan apabila turut merehatkan Ramai Rumakiek dan Ezra Walian. Begitupun, jelas mereka sangat terkesan.

Seawal minit ke-2 Garuda sudah ketinggalan hasil jaringan kapten, Chanathip hasil gerakan dari sebelah kiri gawang gol yang dikawal Nadeo Argawinata yang disudahkan dengan ledakan deras kaki kiri. Philip Roller yang menggantikan Narubadin Weerawatnodom di sebelah kanan berhasil melepasi kawalan dua pemain lawan.

Minit ke-14, bek tengah, Elias Dolah hampir meledak jaringan kedua buat Thailand apabila tandukkannya hanya sedikit melewati palang gol bermula dengan sepakan penjuru. Thailand mempamerkan penguasaan permainan yang bagus sementara Indonesia pula masih tercari-cari rentak permainan menyerang sebenar mereka.

Percubaan pertama Indonesia hanya hadir di minit ke-36 menerusi kapten, Asnawi Mangkualam apabila telah menerima hantaran Ricky Kambuaya namun ia merupakan percubaan yang sia-sia apabila jauh tersasar. Lima minit kemudian, Alfeandra Dewangga pula mensia-siakan peluang dimilikinya dengan rembatan tersasar.

Pengendali Garuda, Shin Tae-yong membuat rombakan di awal babak kedua dengan menukar tiga pemain. Beliau memasukkan Evan Dimas, Elkan Baggott dan Kadek Agung dengan harapan mereka akan mengubah rentak permainan Indonesia. Namun, sebaliknya berlaku apabila mereka dibolosi dengan lebih banyak.

Supachok Sarachart berjaya membuat bantuan gol pada minit ke-52 apabila serangan balas pantas Gajah Perang dimanfaatkan mereka dengan hantaran semula kepada Chanathip yang melepaskan rembatan kaki kanan pula untuk menewaskan Nadeo Argawinata buat kali kedua dalam pentas final. Thailand terus unggul.

Percubaan tepat pertama Indonesia berjaya dicipta pada minit ke-62 menerusi Irfan Jaya, namun Siwarak Tedsungnoen yang menggantikan Chatchai Budprom untuk pentas final ini selepas mengalami kecederaan serius dalam aksi separuh akhir kedua tempohari berjaya menyelamatkan keadaan untuk kecewakan lawan.

Lima minit selepas itu dan juga selepas seorang lagi pemain tengah dikeluarkan iaitu Ricky Kambuaya, mereka bolos lagi. Bek sayap kanan, Philip Roller sekali lagi membuat bantuan gol dengan hantaran backpass menarik menemui Supachok Sarachart yang melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk gol ketiga.

Dan Bordin Phala melengkapkan malam indah buat Thailand pada minit ke-83 apabila menyudahkan hantaran lolos Worachit Kanitsribumphen yang menemuinya di dalam kotak penalti. Thailand dalam kelas tersendiri.

Selain menang selesa 4-0 ke atas Indonesia di pentas final pertama, mereka juga menguasai permainan malah kukuh bertahan. Garuda hanya mampu mencipta satu percubaan tepat sepanjang 90 minit permainan. Penjaga gol mereka, Nadeo Argawinata boleh dikatakan menjadi penyelamat daripada mereka dimalukan lebih teruk.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN