Harimau Malaya memulakan saingan Piala AFF 2022 dengan aksi di tempat lawan apabila bertemu Myanmar pada jam 6 petang ini waktu Malaysia.
Ujian besar kedua buat Kim Pan-gon bermula di tempat lawan selepas kejayaan yang baik diraih ketika aksi kelayakan Piala Asia dengan Malaysia menjadi salah satu tuan rumah.
Kini, memulakan kempen di tempat lawan, Malaysia bagaimana pun harus mendapatkan tiga mata pertama sebelum aksi kedua menentang Laos hujung minggu ini.
Cabaran semestinya getir kerana Myanmar adalah sebuah pasukan yang sukar untuk dijangka. Ada masanya, kita akan diberikan cabaran yang sukar oleh mereka yang kadang-kala menyumbang kepada kekalahan.
Oleh itu, haruslah Kim meletakkan barisan kesebelasan yang cukup ampuh berserta taktikal yang mampu menggoncang Myanmar sehingga mereka tunduk mengalah dengan Harimau Malaya.
Misi pulih maruah
Sepak mula di Yangon hari ini juga menandakan bermulalah proses baik pulih maruah Harimau Malaya di peringkat Asia Tenggara.
Disaat kita sudah mula digeruni apabila berjaya melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2023, namun episod duka di peringkat serantau harus dibaiki.
Edisi yang lalu, Harimau Malaya malu besar apabila terpaksa pulang awal dari kejohanan yang diadakan di Singapura selepas tersingkir di peringkat kumpulan.
Beraksi dengan bola sepak yang tidak menyakinkan dalam setiap perlawanan, Harimau Malaya terpaksa balik awal walaupun sebenarnya berpeluang untuk mara.
Lebih perit adalah apabila Malaysia ditunjukkan jalan keluar oleh Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Sudahlah kalah, dibelasah pula 4-1.
Kini dengan wajah baharu bermula daripada jurulatih sehinggalah skuad Harimau Malaya itu sendiri, peluang untuk mencipta episod yang lebih baik bermula di Yangon dengan meraih tiga mata adalah jalan terbaik.
Misi memburu kejuaraan kedua Asia Tenggara bermula hari ini untuk Malaysia. Ayuh Harimau Malaya!