Piala AFF 2022: Malaysia Guna Paling Sedikit Kamera Untuk Siaran Langsung, Negara Mana Terbanyak?

Jumlah kamera Piala AFF 2022

Pastinya kita pernah tertanya-tanya, berapa agaknya jumlah kamera yang digunakan untuk membawakan kita siaran langsung Piala AFF 2022?

Untuk English Premier League, secara puratanya menurut portal Besoccer, sebanyak 30 kamera digunakan untuk produksi satu-satu siaran langsung.

Adakah saingan di peringkat Asia Tenggara juga melibatkan jumlah yang hampir sama? Berdasarkan perkongsian ini, ia masih jauh ketinggalan.

Perkongsian ini dibuat oleh seorang pengguna Twitter dan YouTuber dari Indonesia, Tommy Desky tentang produksi tayangan untuk kempen kali ini. Tidak dapat dipastikan daripada mana beliau mendapat maklumat ini dan adakah ia tepat. Apa pun, kita boleh mendapat beberapa input daripadanya.

Apa yang dikongsikannya adalah Indonesia merupakan negara yang paling banyak menggunakan kamera untuk produksi tayangan mereka – tentunya!

Dan Malaysia bersama Kemboja, Laos dan Myanmar adalah negara yang menggunakan paling sedikit kamera untuk siaran langsungnya iaitu lapan.

Siapa yang mendapat hak penyiaran mengikut negara?

Setiap negara masing-masing mendapat hak penyiaran untuk saingan Piala AFF kali ini disebabkan kejohanan dwi tahunan ini tiada lagi tuan rumah seperti edisi-edisi sebelum ini. Setiap negara mendapat dua peluang menjadi tuan rumah di peringkat kumpulan dan akan bertambah jika layak ke pusingan seterusnya. Ini adalah senarai pemegang hak siaran langsung.

Hak penyiaran Piala AFF 2022
FOTO: Wikipedia AFF Cup 2022

Untuk Malaysia, hanya Astro Arena mendapat hak siaran langsung, tidak seperti yang dinyatakan. Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya mendapat siaran tidak berbayar atau FTA (free to air) iaitu setiap perlawanan akan ditayangkan 15 minit lewat daripada waktu sebenar perlawanan.

Ini berdasarkan kenyataan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ketika memaklumkan RTM sebagai penyiar kejohanan Piala AFF.

Untuk negara-negara lain, tidak dapat dipastikan kesahihan senarai tersebut melainkan dua entiti – Mediacorp untuk Singapura dan RCTI (Indonesia).

Berapa kamera digunakan setiap produksi penyiaran?

Menurut Tommy, Indonesia menggunakan 12 kamera bagi memberikan kepuasan kepada tontonan penonton. Walaupun ia tertinggi di Piala AFF, tetapi masih jauh ketinggalan dengan apa yang disajikan Premier League.

Namun, tidak patut untuk dibuat perbandingan kerana ia pasti melibatkan kos yang amat besar bagi memberikan kepuasan maksimum penonton.

Ia diikuti Filipina yang menggunakan 10 kamera, Singapura (10), Thailand (9), Vietnam (9), Kemboja (8), Myanmar (8), Malaysia (8) dan Laos (8).

Berikut dikongsikan kedudukan setiap kamera daripada setiap penyiar.

Waima hak penyiaran dimiliki sebuah syarikat penyiaran sukan yang besar di Malaysia, namun nampaknya, kita ketinggalan dari segi jumlah kamera.

Malah, masih ingat insiden di Vietnam di mana kita gagal mendapat sudut terbaik bagi melihat situasi antara Doan Van Hau dan Azam Azmi?

Mungkin itu salah satu kekurangan bagi negara yang menggunakan kamera yang sedikit untuk siaran langsung seperti empat negara yang disebutkan.

Selain itu, saiz lebar lensa sesebuah kamera juga memungkinkan tahap kualiti siaran langsung berbeza bagi setiap negara – semakin lebar, semakin baik ‘coverage’ untuk sesuatu perlawanan bola sepak itu. Untuk insiden di Vietnam, mungkin sudut kamera dan saiz lensanya tidak membantu kita.

Ini hanya penceritaan jumlah kamera bukan kualitinya. Ia adalah berbeza.

Ini kerana, kita tahu, penyokong Indonesia pernah memuji kualiti siaran langsung saingan Liga Super berbanding Liga 1 Indonesia sebelum ini.

Hanya 2 negara guna teknologi ‘steady cam’

Hanya dua negara dilihat menggunakan steady cam. Penggunaannya akan menambah keindahan dan kepuasan kepada satu-satu siaran langsung itu. Dan Malaysia tidak termasuk dalam senarai yang menggunakannya.

Seperti yang dijelaskan dalam Newsletter LaLiga ini, kamera ini membawa kualiti sinematik dalam setiap siaran langsung yang dibawakan mereka.

Apa yang dibawakan oleh ‘steady cam’ ini yang membuatkan Tommy katakan ia menambah ‘manis’ kepada siaran langsung. Boleh saksikan perkongsiannya menerusi dua video ‘steady cam’ yang digunakan oleh hanya dua negara di Piala AFF 2022 iaitu Indonesia dan Singapura.

Selain itu, di Malaysia, sebenarnya teknologi ‘steady cam’ sudah ada, cuma tidak pasti mengapa ia tidak digunakan. Malah, penyiar amatur seperti Balrz TV juga ada ‘steady cam’ mereka sendiri untuk membawa siaran langsung!

Ini adalah sebahagian perkongsian oleh Tommy di Twitternya. Ia boleh dikatakan menarik kerana kita tidak pernah didedahkan dengan maklumat sebegini tambah-tambah melibatkan saingan Piala AFF ketika ini.

Dan jika ia melibatkan perlawanan menarik atau mungkin perlawanan akhir, jumlah kamera pasti bertambah bagi memaksimumkan kepuasan buat penonton. Sebagai contoh, jika sebelum ini lapan kamera digunakan, tidak mustahil ia akan bertambah bagi menambah sisi menarik perlawanan.

Seperti maklumat yang didedahkan oleh Mediapro, yang mendapat hak siaran langsung bagi pusingan kalah mati UEFA Champions League 2019/20. Pada peringkat suku akhir mereka menggunakan 25 kamera sebelum ditingkatkan kepada 28 (semifinal) dan 31 untuk pentas final.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN