Apakah Kenangan Bola Sepak Tahun 2022 Anda?

Bola sepak Malaysia

Beberapa jam sebelum tamat tahun 2022, kita telah menyaksikan pelbagai suka duka dalam sukan bola sepak di Malaysia.

Malah kita juga diperkenalkan istilah baharu dalam sukan.

Oleh itu, mari kita menyingkap beberapa fakta menarik mengenai apa yang berlaku sepanjang tahun ini.

Penantian 42 tahun Malaysia berakhir

Ketika prestasi bola sepak kita agak longlai di peringkat antarabangsa, kehadiran jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon telah mengubah segalanya dan memberi perkembangan positif serta harapan baharu buat penyokong Harimau Malaya.

Buktinya, setelah beberapa kali mencuba akhirnya Harimau Malaya berjaya melangkah ke pusingan akhir Piala Asia secara merit.

Ketika aksi peringkat kumpulan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kita dapat menyaksikan pemain terbaik negara berkumpul dan berjuang demi lencana di dada.

Malah boleh dikatakan setiap negeri hantar wakil ultras dan kehadiran mereka telah memberi tonik tambahan kepada pemain.

Biar pun terdapat warganet mendakwa ada ultras yang tidak hadir memberikan sokongan tetapi mungkin mereka lupa, bukan semua orang dapat cuti untuk turun ke stadium.

Kita perlu berterima kasih kepada Kim kerana kehadiran beliau telah memberi sinar baharu buat bola sepak di Malaysia.

Biar pun perlantikan beliau ada pertikaian dari beberapa pihak terutama peminat, tetapi Kim membuktikan pemilihan dirinya adalah langkah tepat.

Malah, prestasi Harimau Malaya juga semakin baik dibawah kendaliannya yang bijak mencatur taktikal mengikut pemain yang beliau ada.

Dari segi ranking juga mula menunjukkan peningkatan dan jika prestasi baik ini diteruskan, sudah pasti Malaysia mampu mendaki lebih tinggi.

Dari Liga Super ke M3

Setelah beberapa kali diselamatkan kerana diberi tempoh lanjutan untuk rayuan biar pun masa sebenar sudah tamat, akhirnya Melaka United (MU) terpaksa akur tidak dapat meneruskan perjuangan di Liga Super.

Hal ini kerana pasukan ini tidak memperoleh lesen kebangsaan untuk membenarkan mereka beraksi pada saingan Liga Super tahun depan.

Ia berpunca dari masalah gaji yang sering menghantui pasukan tersebut saban tahun.

Ini merupakan satu tindakan tepat diambil oleh FAM agar ia jadi pengajaran pasukan lain.

Mereka akan membentuk kembali pasukan dan akan bermula dari Liga M3 untuk mencari slot kembali ke liga utama.

Dominasi JDT

Hasrat untuk pasukan lain mencuri sekurang-kurangnya satu piala tidak kesampaian apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) menyapu bersih kesemua piala utama yang dipertandingkan.

Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia semuanya diterbangkan ke Stadium Sultan Ibrahim untuk disaksilan oleh penonton setia mereka sambil ditemani percikan bunga api.

Ini juga merupakan satu sejarah baharu kerana belum ada pasukan yang berjaya membolot kesemua piala dalam satu musim tanpa kalah.

JDT turut melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara AFC (ACL) selaku juara kumpulan.

Bukan hanya pasukan senior, skuad remaja mereka juga cemerlang selepas berjaya muncul juara dalam pertandingan peringkat umur.

Biar pun dibelenggu pelbagai kontroversi, mereka tetap meneruskan perjuangan bagi mencapai kejayaan.

Kedah tak bayar cukai?

Isu paling panas adalah pendedahan seorang wartawan sukan tempatan berkenaan tunggakan cukai pendapatan yang melibatkan pasukan Kedah Darul Aman (KDA)

Isu ini telah menjadi topik utama bualan peminat di Malaysia dan memberi kesan terhadap kelab tersebut.

Namum begitu, pihak pengurusan KDA menafikan sekerasnya berkenaan kontroversi tersebut dan mereka telah mengambil tindakan undang-undang terhadap wartawan itu.

Maklumat sulit yang tersebar ini telah menjadi pendebatan dalam kalangan warga maya dan mereka juga hairan bagaimana data itu boleh bocor dengan mudahnya.

Pemain bukan mesin

Selain itu, kita juga diperkenalkan satu lagi istilah baharu dalam bola sepak Malaysia iaitu “mesin”.

Ia susulan respon Kim yang mengakui ini adalah pengalaman baharu dalam kariernya sebagai jurulatih apabila ada pemain menolak panggilan skuad kebangsaan.

Perkara itu dibalas dengan pantas oleh pemilik JDT yang mendakwa “pemain bukan mesin” yang perlu bekerja sentiasa dan mereka juga perlu berehat yang panjang.

2022 tahun yang penuh cerita

Ini adalah sebahagian dari coretan tahun ini dan masih banyak jika ingin dibicarakan.

Apa pun yang terjadi, kita mengharapkan tahun 2023 nanti akan memberi lebih impak positif buat kem kebangsaan dan bola sepak di Malaysia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN