Piala AFF 2020: Thailand Mudah Atasi Myanmar, Teerasil Dangda Kini Penjaring Terbanyak Kejohanan Sepanjang Zaman

Thailand Piala AFF Myanmar

Thailand ternyata berada pada kelas tersendiri apabila meraih kemenangan selesa 4-0 ke atas Myanmar untuk meraih kemenangan kedua dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020 di Stadium Nasional Singapura.

Dua gol oleh penyerang sensasi mereka Teerasil Dangda dan satu gol masing-masing dari Worachit Kanitsribumphen serta Supachok Sarachat sudah cukup untuk memastikan skuad kendalian Alexander Polking itu mengutip tiga mata penuh.

Dalam 20 minit pertama, Thailand membuktikan kehebatan mereka dengan peratusan penguasaan bola yang lebih tinggi.

Reputasi yang dimiliki oleh Teerasil Dangda ternyata sukar untuk dinafikan apabila beliau membuka jaringan perlawanan pada minit ke-23 menerusi satu rembatan rendah yang cukup kencang dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran lintang Nurabadin Weerawarnodom dari sebelah kanan.

 

Minit ke-35, kesilapan barisan pertahanan Myanmar nyaris mengundang padah apabila Teerasil dapat memintas hantaran lemah ke belakang David Than sebelum membuat hantaran kepada Chanatip Songkrasin.

Tetapi kapten Thailand itu mempersia-siakan peluang dengan sepakan kasual yang lemah dan sempat ditanduk keluar oleh Hein Pyho Win walaupun gawang pasukan lawan sudah terbuka tanpa penjaga gol.

Myanmar juga berkesempatan melancarkan serangan dan memiliki beberapa peluang keemasan sebelum tamat separuh masa pertama, tetapi masih gagal untuk membuat percubaan tepat ke arah gol.

Tak sampai seminit selepas perlawanan bersambung selepas rehat, Narubadin terus memberi masalah kepada pertahanan Myanmar apabila hantaran lintangnya tepat menemui Supachai Chaided, tetapi percubaannya meliar ke atas palang gol.

Tetapi ia ditebus dengan satu lagi serangan yang menghasilkan sepakan penalti pada minit ke-50 selepas Hein Pyho Win dipersalahkan kerana mengasari Manuel Bhir dalam perebutan 50-50 dalam kotak penalti.

Teerasil Dangda tiada masalah untuk menterjemahkan peluang terbuka itu dengan satu rembatan kencang ke sebelah kiri untuk gol kedua Thailand dalam perlawanan ini.

Ia merupakan gol ke-47 peribadinya di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan Thailand dan turut menyamai rekod penjaring terbanyak Piala AFF sepanjang zaman yang dipegang oleh penyerang legenda Singapura Noh Alam Shah dengan 17 gol.

Pertukaran pemain yang dilakukan oleh Alex Polking ternyata membuahkan hasil apabila gandingan dua pemain gantian menghasilkan gol ketiga pada minit ke-78 menerusi Worachit Kanitsribumphen bijak menyudahkan hantaran lintang Supachok Sarachat.

Pada minit-minit akhir, Myanmar terlepas peluang untuk menjdapatkan gol saguhati apabila rembatannya dari jarak dekat hasil dari sepakan penjuru sekadar menggegar palang gol sekalipun penjaga gol Chatchai Budprom sudah pun tertewas.

Namun Supachok Sarachat meledak gol keempat pada masa kecederaan dan pengadil meniup wisel penamat bagi mengesahkan malam gemilang Thailand.

Skuad Gajah Perang itu kini memimpin kumpulan A, menyamai enam mata pasukan tuan rumah Singapura tetapi dibezakan dengan perbezaan jaringan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN