Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe akan memulakan saingan kumpulan B Piala AFF 2020 menentang Kemboja.
Dalam siaran yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia, Malaysia akan membuka saingan dengan bertemu Kemboja pada 6 Disember di Stadium Bishan, Singapura.
Perlawanan akan diadakan pada jam 5.30 petang waktu Malaysia.
Selepas mengharungi Kemboja, Laos pula bakal menanti menanti tiga hari kemudian dengan aksi akan diadakan pada waktu dan tempat yang sama.
Lawan semakin sukar
Ibarat bermain permainan video, setiap lawan yang dihadapi Malaysia semakin sukar dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Selepas bertemu Kemboja dan Laos, Harimau Malaya akan bertemu dengan dua jaguh bola sepak Asia Tenggara.
Perlawanan ketiga Malaysia adalah bertemu Vietnam pada 12 Disember dengan aksi diadakan pada jam 8.30 malam.
Aksi yang selalunya sengit antara dua negara terutamanya kebelakangan ini pastinya akan menghadirkan keterujaan buat kita semua.
Malah bukan keterujaan sahaja, tetapi debaran pasti menyusul kerana Vietnam bukanlah lawan mudah.
Saingan peringkat kumpulan buat Harimau Malaya akan diakhiri dengan Pertembungan Seberang Tambak (Causeway Derby) menentang Singapura pada 19 Disember.
Aksi yang diingati kerana peristiwa Keeper Kat Mana? pada 2014 pasti terngiang-ngiang dalam ingatan penyokong Malaysia terutamanya selepas berperang di media sosial dengan penyokong Singapura.
5 Sebab Mengapa Peminat Singapura Rasa Mereka Lebih Hebat Daripada Malaysia
Perlawanan hangat itu turut akan diadakan pada jam 8.30 malam dan ini pastinya akan diikuti rapat oleh ramai penyokong Malaysia pada hari perlawanan.
Skuad negara bakal bermain tiga perlawanan awal di Stadium Bishan yang merupakan gelanggang berkapasiti kecil tidak melebihi tujuh ribu tempat duduk.
Akan tetapi untuk aksi menentang Singapura, perlawanan hangat ini akan diadakan di Stadium Nasional, Kallang.
Saingan kali ini pastinya menarik dan diharap skuad negara akan memberikan persembahan yang hebat demi memburu kejuaraan.
Selamanya, Harimau Malaya!