5 Pemain Bola Sepak Berprofil Tinggi Yang Mengalami Serangan Jantung

Sering kali kita bertanggapan atlet merupakan golongan yang paling sihat dan bebas dari masalah jantung. Insiden-insiden yang telah berlaku bagaimanapun membuktikan sebaliknya.

Hakikatnya masalah jantung tidak mengenali darjat atau siapa diri anda. Ini termasuklah pemain bola sepak profesional. Malah ada di kalangan pemain bola sepak yang meninggal dunia kerana kegagalan menemui penyakit itu lebih awal – yang perlu dilakukan melalui pemeriksaan berkala.

Berikut adalah antara pemain bola sepak handalan dunia dan berprofil tinggi yang pernah mengalami masalah jantung.

Fabrice Muamba (Bolton Wanderers)

 

Jantung Fabrice Muamba pernah terhenti seketika pada waktu petang yang penuh mengerikan di utara London.

Pada 17 Mac 2012, Muamba mengalami serangan jantung pada minit ke-41 dalam perlawanan suku akhir Piala FA yang disiarkan secara langsung antara Bolton Wanderers dan Tottenham Hotspur.

Ketika itu seramai 30,000 penyokong hadir ke White Hart Lane dan jutaan lagi menyaksikan di kaca televisyen di rumah.

Selepas tidak memberi tindak balas ke atas penggunaan defibrilator luaran automatik, dia yang yang berusia 23 tahun ketika itu dikejarkan ke hospital.

Tidak ada siapa yang menyangkakan dia akan sedar dan bernafas semula. Tidak ada juga yang menyangka dia akan berjalan keluar dari bangunan hospital itu.

Berdasarkan keadaan yang dihadapi Muamba, ramai menjangkakan dia mungkin akan mengalami kerosakan otak atau cacat kekal jika dia keluar dari hospital. Ini adalah kisah luar biasa, Muamba yang dikategorikan sebagai manusia ajaib. Beliau bersara secara rasmi daripada bola sepak pada 2012.

Davide Astori (Fiorentina)

Kapten Fiorentina, Davide Astori ditemui meninggal dunia di hotel terletak di Udine pada 4 Mac 2018, dalam rangka persiapan beliau untuk bermain menentang Udinese – dalam perlawanan Serie A.

Post mortem selepas bedah siasat ke atas mendiang mendapati; Davide Astori meninggal dunia kerana bradyarrhythmia – satu kondisi di mana jantung terlalu lemah dan terhenti. Pemain antarabangsa Itali itu baru sahaja berusia 31 tahun.

Pada Disember 2018, dua orang doktor telah dikenakan pertuduhan berkaitan dengan kematian Davide Astori. Dua doktor tersebut adalah orang yang bertanggungjawab mengesahkan bahawa Davide Astori cergas untuk bermain meskipun sebelum itu pemain tersebut ada menunjukkan ada tanda-tanda sakit jantung.

Kecuaian dua doktor tersebut dalam mengesahkan pemain tersebut sebagai cergas dan boleh bermain – telah menyebabkan Davide Astori meninggal dunia kerana kegagalan jantung.

Dua doktor tersebut menandatagani borang kecergasan pemain yang mengesahkan pemain tersebut tiada masalah untuk bermain.

Dalam bola sepak, pada rangka persiapan – para pemain tetap mengalami rasa gemuruh. Sebab itu pemain yang ada masalah dengan jantung sepatutnya tidak dibenarkan terlibat dalam perlawanan dan diarahkan menjalani rawatan intensif jika perlu.

Iker Casillas (Porto FC)

(Photo by Gualter Fatia/Getty Images)

Casillas terkena serangan jantung ketika mengikuti latihan rutin FC Porto pada awal Mei 2019. Selepas beberapa jam dimasukkan ke hospital, Casillas memberikan respon positif dan beliau bangun semula.

Berusia 38 tahun ketika kejadian tersebut, Casillas terpaksa menjalani pembedahan untuk memulihkan keadaan yang dialaminya.

Pulih daripada keadaan tersebut, Casillas menganggap ia detik yang sangat menakutkan. Tetapi Karier penjaga gol legenda Sepanyol dan Real Madrid itu tidak lagi sama selepas itu.

Beliau sempat diberikan peranan baharu sebagai jurulatih penjaga gol bersama Porto selepas kembali menyertai pasukannya.

Casillas akhirnya pasrah beliau sudah tidak mempunyai karier di dalam bola sepak, dan mengumumkan persaraan pada 4 ogos 2020 selepas lebih setahun tidak beraksi.

Cristian Eriksen (Inter Milan)

Denmark Christian Eriksen
(Photo by Liselotte Sabroe / Ritzau Scanpix / AFP) / Denmark OUT (Photo by LISELOTTE SABROE/Ritzau Scanpix/AFP via Getty Images)

Perlawanan Euro 2020 membabitkan pertemuan Denmark dan Finland di dalam saingan Kumpulan B pada musim panas lalu dikejutkan dengan insiden membabitkan Christian Eriksen.

Pemain tengah Inter Milan itu tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri selepas menerima lontaran ke dalam rakan sepasukan dan memaksa rawatan kecemasan dilakukan di atas padang dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya.

Mereka yang menyaksikan perlawanan tersebut, terutama yang berada di dalam stadium pasti tidak akan dapat melupakan insiden cemas termasuk bantuan kecemasan CPR yang dilakukan oleh petugas dan doktor pasukan.

Pakar perubatan yang merawat Eriksen di hospital selepas itu mengesahkan pemain itu mengalami serangan jantung ketika perlawanan yang membuatkan beliau rebah. Malah pernafasan pemain itu turut disahkan sudah berhenti sebelum rawatan kecemasan diberikan oleh pasukan medik.

Apa yang dialami oleh Christian Eriksen sebenarnya juga dikenali sebagai “Sudden Cardiac Death.” Walaupun di dalam kes Eriksen ia tidak membawa maut, beberapa pemain profesional lain yang tidak bernasib baik seperti Marc-Vivien Foe, Cheick Tiote, dan Miklos Feher adalah antara pemain bola sepak profesional yang maut akibat penyakit yang disifatkan sebagao “silent killer” di kalangan para atlet.

Walaupun keadaan beliau kini telah pulih, pemain tengah itu kini terpaksa mencari kelab lain selepas dia tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Serie A selepas insiden serangan jantung itu.

Sergio Aguero (Barcelona)

(Photo by Alex Caparros/Getty Images)

Penyerang Argentina, Sergio Aguero melalui detik cemas, di mana beliau mengalami masalah sesak nafas ketika aksi menentang Alaves pada aksi La Liga pada hujung minggu lalu.

Para petugas kesihatan mengambil masa yang agak lama membantu Aguero untuk menilai kesakitan pemain itu dan cuba memberikan bantuan kecemasan yang diperlukan.

Aguero dikeluarkan daripada perlawanan dan kemudian dikejarkan ke hospital untuk ujian jantung. Ini kerana pemain itu mendakwa dadanya sangat sakit.

Barcelona dalam kenyataan rasmi kelab berkata: “Pemain pasukan utama kelab, Sergio Aguero mengalami kesakitan pada dadanya dan telah dimasukkan ke hosptial untuk ujian jantung.”

Pemain itu kemudiannya disahkan mengalami masalah cardiac arrythmia atau gangguan irama jantung. Keadaan tersebut akan memaksa pemain itu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum keadaannya dinilai semula.

Rumusan

Tidak semua pemain bola sepak yang mengalami serangan jantung bernasib baik. Davide Astori misalnya ditemui meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung.

Situasi yang dialami oleh Fabrice Muamba pula dianggap ajaib. Rata-rata mereka berhadapan kesukaran untuk meneruskan karier masing-masing seperti mana dihadapi oleh Christian Eriksen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN