Tiada program pembangunan di akar umbi yang lengkap telah membantutkan Indonesia untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Ketua jurulatih Indonesia, Bima Sakti Tukiman berpendapat kegagalan pasukannya untuk melangkah ke peringkat separuh akhir saingan Piala AFF Suzuki 2018 adalah berpunca daripada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang dilihat seperti tidak memandang serius tentang usaha pembangunan pemain di peringkat muda.
Menurut pengendali berusia 42 tahun itu, persatuan PSSI tidak boleh hanya memberikan fokus untuk meraih kejayaan dalam masa singkat, sebaliknya mereka perlu mengikut usaha yang sedang dilakukan negara-negara lain dalam pembangunan pasukan kebangsaan.
“Kita (Indonesia) tidak boleh mengharapkan keputusan yang terbaik dalam masa singkat. Negara-negara yang memiliki kemajuan dalam sukan bola sepak selalu ada pembangunan pemain di peringkat muda. Tetapi di Indonesia, kita tidak ada itu,” kata Bima menerusi Bola.net.
Bima turut berkata, beliau pernah bertanya kepada jurulatih pasukan kebangsaan Jepun B-19 mengenai usaha yang dilakukan negara itu dalam membentu sebuah pasukan bola sepak yang hebat.

“Selepas ini, pembangunan awal kanak-kanak mesti dipertimbangkan kerana ini adalah asas kepada pasukan kebangsaan untuk masa depan.”
“Saya pernah berjumpa dengan jurulatih pasukan kebangsaan Jepun B-19 dan beliau berkata untuk menyediakan pasukan yang kuat perlu mengambil masa hampir enam atau tujuh tahun, dan daripada diantara mereka (pemain) dihasilkan di akademi.”
Jauh ketinggalan
Dalam temubual tersebut Bima Sakti turut mengatakan bahawa projek pembangunan di Indonesia masih ketinggalan jauh dalam aspek mengajar pemain beraksi dengan lebih baik mengikut corak permainan bola sepak moden hari ini.
Beliau memberi contoh pemain muda yang datang dari produk akademi bola sepak Indonesia, Febri Hariyadi dengan menyifatkan pemain itu masih gagal untuk berada di level seperti yang diharapkan.
“Sayangnya di usia muda, Indonesia belum ada persaingan. Para pemain muda di Indonesia dilihat masih gagal dalam usaha yang dilakukan persatuan sebelum ini.”
“Ambil contoh, misalnya Febri Hariyadi. Sewaktu masih berusia belia, Febri hanya diajarkan berlari selama di akademi,” tuturnya.
“Dia memiliki kepantasan dalam lariannya. Namun, kelemahannya pula Febri tidak seperti tidak tahu bagaimana untuk mengawal bola atau melakukan tendangan dengan baik dan sempurna.
“Ianya terjadi kerana tiadanya usaha secukupnya oleh bola sepak Indonesia. Jadi, saya berharap dimasa akan datang, akan ada usaha untuk menyelesaikan masalah ini agar bola sepak Indonesia boleh maju dan berdaya saing,” seru Bima Sakti.