Pasukan kebangsaan Filipina menerima perkhabaran buruk menjelang aksi pertama pasukan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018 menentang Singapura bagi kumpulan B.
Ini apabila penyerang sensasi mereka, Javier Patiño Lachica mengesahkan bahawa dirinya masih belum cergas 100% dari kecederaan yang dialami.
Menurut sumber dari FourFourTwo, berita tersebut telah dimaklumkan sendiri oleh Patiño di laman Instagram miliknya.
Patiño merupakan pemain naturilisasi dari Sepanyol yang telah mendapat hak kerakyatan Filipina pada tahun 2014. Pemain berusia 30 tahun itu merupakan salah seorang pemain berpengalaman dalam skuad The Azkals yang telah disenaraikan oleh pengendali pasukan, Dan Palami bagi membantu memperkuatkan pasukan untuk kempen kali ini.
Namun, kecederaan lama dibahagian betis ketika mewakili kelab Henan Jianye FC dalam saingan Liga China pada pertengahan tahun 2017 telah menjejaskan penampilannya sekaligus menggangu persiapan pasukan untuk menghadapi kejohanan tersebut.
Berdasarkan apa yang dikongsikan Patiño di Instagram, beliau enggan mengambil risiko sepenuhnya untuk kembali memperkuatkan jentera serangan pasukan.
“Ini kali pertama saya mengalami kecederaan yang membuat saya berhenti (bermain) untuk jangka masa yang panjang dan menghalang saya melakukan apa yang paling saya sukai. Bermain bola sepak dan mencetak gol,” katanya Patino seperti dilaporkan PhilStar.
Akhir kata – Patiño yang kini menyertai Buriram United dalam saingan Liga Thailand – berjanji untuk berusaha sebaik mungkin untuk kembali bangkit dan berharap agar kecederaan yang dialami dapat pulih secepat yang mungkin.
“Saya akan kembali … lebih kuat dari sebelumnya.” Tegas Patiño.