Quantcast

BERITA

Petr Cech Mahu Main Tanpa Helmet, Tapi Dilarang Doktor

Seperti cermin mata Edgar Davids pada era 90-an, helmet Petr Cech sudah menjadi aksesori tetap dalam bola sepak sejak kali pertama memakainya hampir 10 tahun lepas.

Cech mula memakai helmet perlindungan tersebut selepas kepalanya berlaga dengan lutut Stephen Hunt ketika mewakili kelab lamanya, Chelsea menentang Reading pada 2006.

Perlagaan tersebut membuatkan Cech terus tak sedarkan diri dan tempurung kepalanya retak. Jose Mourinho menegaskan Cech boleh mati jika tidak kerana tindakan pantas pasukan perubatan di padang.

Tetapi Cech – kini di Arsenal – mendedahkan beliau lebih suka jika beliau boleh bermain tanpa helmet.

Bagaimanapun, beliau dilarang oleh doktornya yang memberikan amaran – beliau boleh mati jika kepalanya berlaga lagi.

“Saya lagi yakin kalau tak pakai helmet. Ini kerana helmet mempengaruhi persekitaran anda.”

“Telinga anda akan tertutup. Anda tak boleh dengar dengan jelas. Tapi doktor tak bagi saya tanggalkan helmet ketika perlawanan. Kalau tak, polisi insurans saya akan ditarik.”

Ketika diminta mengulas prestasi semasa Chelsea pula, Cech mengaku terkejut dengan apa yang berlaku.

“Saya terkejut. Mereka baru saja menang liga 6 bulan lepas.”

“Majoriti pemain masih lagi kekal di sana. Jurulatih pun telah bertambah.”

Tetapi Cech lebih terkejut melihat prestasi Chelsea masih berkekalan sehingga kini.

“Saya memang terkejut dengan prestasi mereka pada awal-awal musim liga. Tapi saya lagi terkejut bila tengok krisis ini masih berlanjutan.”

Baca juga: Reaksi Internet Selepas Petr Cech Sah Menyertai Arsenal