Adakah Pertukaran Pemain Atau Pemain Gantian Mampu Cipta Kelainan Kepada Pasukan?

Menang atau kalah sesebuah pasukan boleh ditentukan menerusi penggunaan masa, sebagai contoh, masa untuk membuat pertukaran pemain. Adakalanya kita membuat perubahan dan ianya memberikan kesan positif kepada pasukan kita, dan begitu juga sebaliknya.

Kita pasti sudah biasa mendengar ungkapan melayu dahulu kala, masa itu emas. Masa juga adalah segalanya. Penggunaan masa yang baik akan membantu kita untuk mendapat sesuatu yang baik.

Setiap jurulatih ada cara dan gaya tersendiri. Ada yang membuat pertukaran ketika babak pertama, ada ketika memasuki awal babak kedua, ada yang langsung tidak membuat pertukaran dan ada yang hanya menggunakannya di penghujung perlawanan.

Mourinho antara pengurus yang mempunyai reputasi baik dalam pertukaran pemain. Foto: AFP/Getty Images

Sebagai contoh, pengurus Manchester United, Jose Mourinho, dikatakan melakukan pertukaran pemain mengikut gerak hatinya. Tiada corak-corak tertentu untuk menentukan gaya pertukaran pemain yang dilakukan oleh Mourinho.

“Saya dapat rasakan sesuatu. Saya seperti dapat menghidu sesuatu, dan saya dapat ‘bau’ yang mereka boleh menjaringkan gol,” petikan kata-kata Mourinho sekitar tahun 2013.

Dan penyokong Manchester United telah melabelkan dia sebagai ‘genius’ pada musim lalu selepas dua pertukaran pemain yang dibuatnya memberikan kesan segera dan membantu kelab kendaliannya menang ke atas Blackburn.

Sementara itu, pengurus Burnley, Sean Dyche pula dilaporkan hanya menggunakan kira-kira 30 peratus daripada penggantian pemain yang ada. Burnley ketika ini di kedudukan ke-6 Liga Premier Inggeris (EPL) dan ianya dikatakan adalah hasil kebijaksanaan dan aura Dyche.

Selain itu, merujuk pertembungan antara Lazio dan Roma pada 2010 di mana Roma ketinggalan 0-1 kepada lawan. Pengurus yang baharu dilantik, Claudio Ranieri membuat pertukaran yang berani, mengeluarkan dua tunjang utama, Francesco Totti dan Daniele de Rossi.

Tiada masalah, Roma bangkit di babak kedua dan memenangi perlawanan dengan keputusan 2-1.

Mengeluarkan dua ‘dewa’ Rom, Totti dan de Rossi mungkin antara keputusan paling berani Ranieri.

Sam Allardyce adalah contoh pengurus yang mempunyai tabiat membuat pertukaran awal. Statistik EPL pada musim 2013 menunjukkan secara purata selepas dikecualikan pertukaran pada 30 minit ke bawah, dia akan membuat pertukaran seawal 55 minit pertama.

Dalam aksi bertemu Chelsea pada musim 2013, Allardyce pernah membuat dua pertukaran awal, iaitu dalam aksi babak pertama. Dan berikutan itulah, Joe Cole ‘merajuk’ kerana bagi dia, tiada pemain yang suka digantikan sebelum berakhir babak pertama.

Kelihatan Joe Cole Tidak Berpuas Hati Apabila Digantikan Seawal Babak Pertama. Foto: Dave Shopland

Data dan kajian mengenai pertukaran pemain

Pada 2014, Opta membuat kajian mengenai keberkesanan pertukaran pemain di babak kedua perlawanan dengan menggunakan data Piala Dunia sejak 1998. Data tersebut menunjukkan peluang untuk sesebuah pasukan untuk menang atau seri meningkat antara 24 peratus sehingga 40 peratus sekiranya pasukan tersebut membuat pertukaran di babak kedua, selepas ketinggalan satu gol.

Selain itu, seorang profesor daripada Pennsylvania, Bret Myers dalam kajiannya menyatakan masa pertukaran pemain yang ideal adalah pada minit ke-58, 73 dan 79. Myers yakin sekiranya hasil kajiannya itu dipraktikkan, ia mampu meningkatkan dua kali ganda peluang sesebuah pasukan itu untuk menang atau seri, walaupun pada masa tersebut mereka sedang ketinggalan.

Kita juga boleh merujuk kepada hasil kajian Daniel Altman dari BSports dan Colin Trainor dari StatsBomb yang menyatakan kebarangkalian untuk pemain gantian menjaringkan gol adalah lebih tinggi daripada pemain yang membarisi kesebelasan utama.

Altman menyatakan pemain gantian lebih cergas dan segar berbanding pertahanan lawan yang pastinya sudah penat, dan dengan memasukkan mereka, peluang untuk pemain gantian tersebut ‘menjinakkan’ pertahanan lawan adalah tinggi.

Velizar Popov ketika bersama Kelantan pada musim 2016.

Di Liga Malaysia, penulis masih ingat perlawanan yang melibatkan Kelantan dan Selangor, dalam aksi Piala Malaysia 2016. Jurulatih Kelantan pada ketika itu, Velizar Popov telah membuat pertukaran penting selepas pasukannya ketinggalan 1-3.

Popov memasukkan benteng muda, Faris Shah, penyerang berpengalaman, Manaf Mamat dan juga Wan Zack Haikal dalam aksi babak kedua dan ianya berhasil apabila Kelantan bangkit untuk mengikat Selangor dengan keputusan 3-3.

Penyumbang gol untuk kebangkitan dramatik Kelantan itu adalah dua pemain yang dimasukkan di babak kedua iaitu Manaf Mamat dan Wan Zack Haikal. Untuk rekod, Wan Zack hanya mengambil masa 10 minit untuk menjaringkan gol selepas dimasukkan.

Walaubagaimanapun, segalanya masih tertakluk kepada jurulatih, kedudukan perlawanan dan pasukan lawan dalam menentukan masa yang sesuai untuk membuat pertukaran pemain. Ianya sukar untuk menyatakan masa yang sesuai untuk membuat pertukaran pemain.

‘Supersub’: Status Terhebat Buat Pemain Simpanan

Pemain gantian yang berjaya merubah kedudukan dan situasi pasukannya di dalam padang pula digelar sebagai ‘supersub’. Dan menurut ‘pakar supersub’ di era 1970-an, David Fairclough, ia adalah seni, bukan semata-mata nasib.

Tiada siapa yang suka untuk duduk di bangku simpanan menanti masa dan peluang untuk turun beraksi. Pemain simpanan adalah pemain yang bagus, cuma tidak cukup bagus untuk berada dalam kesebelasan utama.

Ia adalah sesuatu yang mengecewakan bagi setiap pemain untuk hanya sekadar memanaskan bangku simpanan. Namun, sekiranya pemain tersebut diturunkan dan berjaya membantu pasukannya, segalanya berubah. Statusnya akan bertukar sebagai ‘supersub’.

Dalam era penggiliran pemain dan jadual yang kian padat, persepsi terhadap pemain simpanan juga telah berubah. Statistik di EPL terutamanya telah menunjukkan yang pemain simpanan sudah berada pada satu kedudukan yang baik dan ada peranan tersendiri.

Sebagai contoh, pada musim 2012, Manchester City boleh kehilangan tujuh mata jika tidak kerana sumbangan pemain simpanan mereka, dan begitu juga Manchester United, yang boleh kehilangan lima mata.

‘Baby-Faced Assassin’ Foto: Mathew Ashton

Semua pasti ingat, bagaimana Alex Ferguson telah menggunakan penyerangnya, Ole Gunnar Solskjaer sebagai senjata rahsianya di saat pasukan lawan kian penat dalam satu-satu perlawanan.

Berikut merupakan 10 pemain yang paling banyak menjaringkan gol di EPL apabila diturunkan sebagai pemain gantian:

  1. Jermain Defoe: 23 gol
  2. Ole Gunnar Solskjaer: 17 gol
  3. Nwankwo Kanu: 17 gol
  4. Daniel Sturridge: 15 gol
  5. Olivier Giroud: 15 gol
  6. Victor Anichebe: 14 gol
  7. Javier Hernandez: 14 gol
  8. Peter Crouch: 14 gol
  9. Edin Dzeko: 13 gol
  10. Darren Bent: 13 gol

Berikut pula merupakan 6 pemain gantian di EPL yang berjaya meledak hatrik apabila diturunkan:

  1. Ole Gunnar Solskjaer, Nottingham Forest 1-8 Man United, Februari 1999
  2. Romelu Lukaku, West Brom 5-5 Man United, Mei 2013
  3. Emmanuel Adebayor, Derby 2-6 Arsenal, April 2008
  4. Jimmy Floyd Hasselbaink, Chelsea 5-2 Wolves, Mac 2004
  5. Robbie Earnshaw, Charlton 1-4 West Brom, Mac 2005
  6. Steven Naismith, Everton 3-1 Chelsea, September 2015

Di Liga Malaysia juga terdapat beberapa pemain yang boleh kita kategorikan sebagai pemain ‘supersub’. Namun, maklumat yang ada tidaklah selengkap seperti data yang boleh kita dapati daripada liga luar negara.

Antara pemain yang boleh dikategorikan sebagai ‘supersub’ di Malaysia adalah Rusdi Suparman, Liew Kit Kong dan Affendi Julaihi. Sebagaimana Solskjaer, Rusdi juga senantiasa diingati oleh penyokong Selangor sebagai ‘supersub’ yang paling berkesan di era 90-an.

Sumber Rujukan:

  1. Queenscast.com (2017): Substitutions: Why Timing is so Important
  2. Ben Smith, BBC.com (2012): Super-subs: The key role of football’s impact strikers
  3. Evan Smith, Squawka.com (2017): Can you name the players to score the most goals as a substitute in Premier League history?
  4. Richard Innes, Mirror.co.uk (2015): Premier League hat-tricks by substitutes

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN