Pertahanan kental Terengganu, Argzim Redzovic meluahkan rasa puas hati ketika pasukannya berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) menerusi kekalahan 1-3.
Walaupun tewas, Terengganu menjadi antara pasukan yang sangat bagus musim ini ketika berdepan JDT, selepas mereka tidak memberi laluan mudah buat pelawat untuk mendapatkan tiga mata.
🏳️🏴 KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN 🏳️🏴
FT [ @FCTerengganu 1-3 @OfficialJohor ]
⚽️ Forestieri
⚽️ Sony Norde
⚽️ Bergson (P)
⚽️ Endrick#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/ZgjftSQoBm— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) June 9, 2023
Malah, Terengganu menjadi pasukan kedua musim ini yang berjaya membolosi gawang JDT menerusi jaringan kencang penyerang import mereka iaitu Sony Norde di separuh masa pertama.
Argzim yang beraksi dalam kesebelasan utama pada malam itu walaubagaimana pun terpaksa menelan keputusan yang sangat pahit selepas beliau dilayangkan kad merah hasil susulan kad kuning kedua pada minit ke-52 atas kekasaran dibuat.
Berpasangan bersama Shahrul Nizam, pemain ini sebenarnya berjaya mengekang banyak pergerakan dicipta pelawat untuk mendapatkan gol, terutama sekali kelincahan dipamerkan oleh Bergson da Silva.
Selain Argzim, seorang lagi pemain import Terengganu turut menjadi mangsa pengadil perlawanan selepas membuat kekasaran terhadap pemain lawan iaitu Ivan Mamut.
Menurut pertahanan dari Montenegro itu, beliau dengan cepat ingin melupakan peristiwa gelap tersebut sambil memberi fokus sepenuhnya untuk kembali bangkit pada aksi seterusnya bersama pasukan.
Namun, Argzim perlu menjalani hukuman pergantungan perlawanan terlebih dahulu, dengan pemain bertubuh tegap itu sah tidak akan beraksi pada aksi seterusnya berdepan Kedah Darul Aman (Kedah) pada 23 Jun ini.
Apapun, pemain tersebut masih optimis dengan melaungkan keyakinan rakan sepasukan lain mampu melaksanakan tugas untuk kembali mencatat kemenangan di laman sendiri.
“Saya berpuas hati dengan aksi pasukan kerana bukan mudah untuk berdepan dengan JDT, semua tahu mereka adalah pasukan terbaik ketika ini, namun kami dapat peragakan persembahan terbaik terutama di bahagian pertahanan dan serangan sehinggakan menghasilkan beberapa peluang berbahaya.
“Cuma nasib tidak menyebelahi kami walaupun perancangan jurulatih menjadi dengan bermain sebagai satu pasukan. Kami dapat tunjukkan TFC mampu memberi tekanan kepada JDT.
“Menentang Kedah nanti walaupun tidak dapat beraksi, saya berkeyakinan rakan sepasukan mampu memberikan yang terbaik selain percaya ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner,” katanya menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, Argzim turut memohon maaf kepada rakan sepasukan, staf kejurulatihan, pengurusan, serta para penyokong Terengganu ekoran kad merah dikutip beliau pada aksi tersebut.