Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berkunjung ke Likas malam ini untuk aksi seterusnya dalam saingan Liga Super 2023 dengan membuat perhitungan bersama pasukan tuan rumah iaitu Sabah dalam misi untuk mencari tiga mata seterusnya.
Atas kertas, segalanya berpihak buat JDT yang tampil begitu konsisten sejak awal musim ini dengan persenbahan cukup cemerlang di segenap posisi untuk tidak sesekali ketinggalan membawa pulang tiga mata penuh.
It's matchday!
⚽ SABAH vs JDT
🏆 Liga Super 2023
🏟 Likas Stadium, Kota Kinabalu
🕘 20:15#SABvJDT#LigaSuper2023#WhatCanYouDo#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/JaU371rxNH— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) August 9, 2023
Malah, JDT juga masih lagi segar dengan kejayaan mereka untuk meraih trofi kedua mereka musim ini dengan membawa pulang kejuaraan Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Hadir dengan sedikit rombakan sahaja membabitkan kejurulatihan dan pemain, pasukan tersebut menampilkan kualiti permainan cukup berbeza jika dibandingkan pada musim-musim lalu terutama sekali di posisi serangan utama.
Maka, tidak hairan ramai menjangkakan skuad kendalian Esteban Solari itu menjadi pilihan utama malam ini untuk mengekalkan rekod kemenangan mereka ketika menentang Sabah.
Namun, JDT juga perlu berwaspada akan Sabah yang sejak kebelakangan ini tampil dengan begitu baik di segenap posisi selepas ada beberapa perubahan dibuat oleh Datuk Ong Kim Swee selaku pengendali utama kelab.
Paling mencuri tumpuan kini pastinya terarah kepada bintang penyerang import baharu mereka dari Brazil yang sudah pun membuktikan segalanya iaitu Ramon Machado.
Ketajaman Machado mula menjadi tumpuan sejak perlawanan awal beliau ketika Sabah menewaskan Kuching City dengan pemain itu berjaya meledak dua jaringan sebagai salam pengenalan buat Liga Malaysia.
Selepas mengharungi lima perlawanan termasuk Piala Malaysia, Machado sudah pun menghasilkan enam gol secara keseluruhan buat Sabah serta turut mencipta dua bantuan jaringan.
Pengaruh Machado buat posisi serangan Sabah jelas sangat ketara, dengan pemain ini bijak meletakkan posisi beliau di tempat yang betul untuk menerima sebarang umpanan dibuat oleh rakan sepasukan lain.
Malah, Machado juga bijak membuka ruang buat pemain serangan lain di hadapan gawang selain begitu tajam melepaskan rembatan tepat untuk menewaskan penjaga gol lawan.
Maka, ianya menjadi sesuatu perlu diberi perhatian khusus buat barisan pertahanan JDT terutama sekali ketua pasukan tersebut iaitu Jordi Amat untuk memastikan Machado tidak bergerak dengan begitu bebas.
Dengan jangkaan para penyokong Sabah akan membanjiri stadium malam ini, sudah tentu Machado bersama rakan sepasukan lain akan mendapat galakan motivasi untuk tampil bertambah baik bagi menghadapi lawan.