Kelibat penyerang import Selangor, Reziq Banihani terus meraih perhatian ramai selepas impak diberikannya berjaya merancakkan lagi barisan serangan The Red Giants untuk berpesta gol mengatasi Negeri Sembilan.
Selangor meneruskan konsistensi mereka pada aksi Liga Super musim 2024/2025 dengan berjaya meraih kemenangan kedua musim ini selepas giliran Negeri Sembilan pula menjadi mangsa skuad kendalian Nidzam Jamil.
Selepas kejayaan mereka mengatasi Kedah Darul Aman (Kedah) sebelum ini dengan jumlah satu jaringan sahaja, kali ini Nidzam memastikan pasukan tersebut tampil lebih baik terutama sekali daripada segi kualiti penyudah.
Hasilnya, The Red Giants berjaya meraih kemenangan 4-0 mengatasi Negeri Sembilan dengan dua gol diledak oleh Yohandry Orozco selain Ronnie Fernandez, Noor Al-Rawabdeh, serta Reziq Banihani masing-masing meraih satu jaringan.
Pada aksi tersebut, kelibat Reziq sekali lagi mencuri tumpuan selepas Nidzam terus menjadikan dirinya selaku ‘supersub’ untuk meningkatkan lagi enjin serangan di separuh masa kedua.
Jika aksi lalu kehadiran Reziq berjaya memastikan Aliff Haiqal Lau meraih jaringan menerusi sumbangannya di atas padang ketika bertemu Kedah, kali ini pemain dari Jordan itu sendiri mencetak nama selaku peledak gol buat Selangor.
Jaringan sulung Reziq terhasil pada minit ke-90 selepas beliau mendapat lorongan begitu cantik daripada pemain muda Harimau Malaya, Mukhairi Ajmal untuk beliau menewaskan Aqil Razak sekali gus memastikan malam cukup gemilang buat Selangor.
Sebelum menjaringkan gol, aksi pemain ini jelas begitu mencuri tumpuan dengan Reziq sekali lagi menggunakan kekuatan fizikal beliau untuk mengatasi pertahanan lawan.
Walaupun menerima asakan keras daripada pertahanan Negeri Sembilan, pemain ini langsung tidak terkesan dan beberapa kali memerangkap lawan menerusi kelincahan serta kepantasannya untuk melarikan bola ke hadapan.
Aksi ditampilkan Reziq ini juga mengingatkan kita semua kepada bekas pemain import legenda Sarawak era 90-an iaitu John Hunter daripada segi gaya permainan di atas padang.
Sebut sahaja John Hunter suatu ketika, pastinya ramai peminat bola sepak ‘otai’ cukup mengenai susuk tubuh pemain tersebut yang dianggap cukup kuat serta sukar ditumbangkan walau menerima asakan dadipada lawan.
Malah pemain ini juga turut menerima gelaran “John Kerbau” kerana kekuatan fizikal beliau yang sukar ditumbangkan lawan selain faktor tubuh badannya sendiri sangat tegap.
Melihat kepada kualiti dan corak permainan Reziq kini, beliau memiliki masa depan cukup cerah untuk mencipta nama selaku legenda baharu buat bola sepak Selangor jika momentum itu dapat dikekalkan.
Pandangan anda, adakah Reziq perlu diberi peluang dalam kesebelasan utama atau mengikut percaturan taktikal beraksi pada separuh masa kedua seperti aksi-aksi lalu?