Penyerang Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Ifedayo Olusegun berpeluang untuk mencipta sensasi beliau buat pertama kali musim ini di halaman sendiri pada aksi menentang Kelantan United.
Kedah bakal melayan kunjungan Kelantan United pada malam ini di Stadium Darul Aman (SDA) dalam misi mereka untuk terus meraih tiga mata penuh di halaman sendiri.
🔰 MATCHDAY 🔰
PULUN KEDAH PULUN!
🏆 LS 17 | Liga Super 2023
🆚 KELANTAN UNITED FC
📆 14 Julai 2023, Jumaat
🕖 9.00 malam
🏟️ Stadium Darul Aman📡 TV2 & Sukan RTM pic.twitter.com/U2Qmqm08Jr
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) July 14, 2023
Tampil cemerlang pada aksi lalu ketika menentang PDRM, skuad kendalian Nafuzi Zain pastinya kini berada dalam momentum terbaik untuk dibawa turun beraksi bagi mendapatkan kemenangan seterusnya.
Untuk rekod pertemuan pertama musim ini bersama Kelantan United, Sang Kenari berjaya mencatat kemenangan 3-2 ketika mereka berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Tiga jaringan Kedah ketika itu terhasil menerusi Willian Lira, Manuel Hidalgo, serta Al-Hafiz Harun, sementara Kelantan pula mendapat dua gol melalui penyerang mereka iaitu Devid Santana serta Yan Victor.
Untuk aksi malam ini, dijangka ianya bakal tampil dengan lebih sengit selepas kedua pasukan saling membuat rombakan baharu pada jendela perpindahan kedua bagi memperkukuhkan setiap posisi masing-masing.
Tumpuan kini pastinya terarah kepada penyerang baharu Kedah iaitu Ifedayo yang sebelum itu sudah pun membuka akaun jaringan ketika mereka menewaskan PDRM.
Ifedayo boleh dianggap sebagai antara nama besar yang menyertai kembali saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas mencipta sensasi bersama Selangor dengan ketajaman beliau di hadapan gol.
Tampil dengan rekod pemenang Kasut Emas selama dua musim berturut-turut, pastinya para penyokong Sang Kenari berharap Ifedayo mampu mengulanginya lagi kejayaan tersebut bersama Kedah.
Walaupun kurang memberi impak pada aksi bertemu PDRM, kelibat Ifedayo jelas menyukarkan pertahanan lawan menerusi kawalan bola serta kekuatan fizikalnya untuk membuka ruang buat rakan sepasukan lain mencipta sesuatu.
Malah, penyerang kelahiran Nigeria itu juga mengakui beliau masih lagi mencari persefahaman terbaik untuk memberi impak positif pada aksi akan datang.
Ifedayo Akui Perlu Sabar Untuk Capai Persefahaman Bersama Kedah
Apapun, Sang Kenari tetap perlu berwaspada dengan Kelantan United yang dilihat mempunyai ramai pemain berpengalaman untuk tampil mencipta kejutan.
Selain memfokuskan aspek serangan, Nafuzi juga perlu menekankan sudut pertahanan Kedah untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang bakal mengecewakan penyokong mereka sendiri.