Intan Sarah Anisah mendedahkan yang beliau sangat berminat mahu beraksi di luar Malaysia, dalam usahanya mahu mencari pengalaman serta membantu menaikkan martabat bola sepak wanita negara.
Pemain utama futsal negara itu sebelum ini pernah ditawarkan untuk beraksi bersama pasukan gergasi Thailand dan beliau masih menanti kesempatan untuk beraksi di luar negara.
Chonburi FC sebelum ini pernah menawarkan Intan Sarah untuk beraksi bersama mereka, dan kini kelab dari Thailand itu sedang memantau perkembangan kariernya.
Tidak akan mengejutkan dalam tempoh beberapa bulan lagi Intan Sarah bakal ditawarkan secara rasmi untuk beraksi di Thailand dan membanggakan nama negara di sana.
Thailand sememangnya antara kuasa besar dalam dunia sukan futsal, dan jelas sekali Intan Sarah bakal menimba pengalaman berguna andai beliau benar-benar ditandatangani oleh Chonburi FC nanti.
“Masa Sukan SEA hari tu, ketua jurulatih skuad perempuan Thailand ada jumpa saya, dan dia ada tanya sama ada saya berminat atau tidak untuk bermain di sana.”
Jelas Intan Sarah kepada Semuanya BOLA.
“Saya jawab YA! Sebab saya memang berminat nak bermain di luar, tapi saya masih tunggu lagi, sebab diorang baru tawarkan dari mulut, saya masih tunggu diorang hantar tawaran ke FAM.”
Ketika ditanya mengapa beliau begitu berminat mahu bermain di luar, Intan Sarah mendedahkan yang beliau sebenarnya mahu menimba pengalaman dan membantu menaikkan martabat bola sepak wanita Malaysia.
“Saya dah beritahu mereka yang duit bukan segala-galanya untuk saya, tapi tentu lah tak mungkin saya pergi secara percuma kan.”
“Saya memang sangat, sangat berminat. Sebab itulah impian saya yang masih lagi belum tercapai. Main dekat luar ni, saya boleh dapat banyak pengalaman dan nikmati suasana yang baru.”
“Jadi mungkin saya akan dapat perbaiki diri saya sendiri untuk menjadi pemain futsal yang lebih baik dan boleh saya kongsikan segala ilmu saya dapat tu kepada kawan-kawan dekat sini.”
Intan Sarah pemain terbaik negara
Harus diakui, walau ada pengkritik yang menganggap Intan Sarah hanya pandai melakukan aksi cross bar challenge dan sebagainya, harus diakui yang beliau sememangnya antara pemain terbaik yang dimiliki oleh skuad negara.
Intan boleh bermain dengan sangat baik di bahagian pertahanan dan beliau juga turut mempunyai kualiti penyudah yang sungguh menakjubkan.
Kehebatan beliau itu terbukti apabila beliau memenangi anugerah pemain terbaik saingan MPFL sebanyak dua kali berturut-turut.
Skuad Melaka berjaya menjuarai saingan MPFL pada tahun ini juga kerana sumbangan dari Intan Sarah Anisah bersama rakan sepasukannya yang lain.
Oleh yang demikian, tidak hairanlah andai ada kelab dari luar yang menyatakan minat mahu mendapatkan khidmatnya.
Semoga saja cita-cita beliau akan tercapai dan Intan Sarah akan menjadi antara pemain futsal terbaik di Asia dan menjadi kebanggaan negara.