[VIDEO]: 2 Lakaran Tifo Ultras Malaya Yang Sebenarnya Tercipta 12,673km Dari Bumi Malaysia

Tifo Ultras Malaya Malaysia

Ultras Malaya menampilkan tiga tifo yang menarik perhatian ketika pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tempohari dan ia adalah hasil lakaran sejauh 12,673km dari bumi Malaysia.

Setiap kali perlawanan membabitkan pasukan negara di laman sendiri, perkara pertama yang menjadi tarikan para penyokong di seluruh negara adalah tifo gergasi yang akan dinaikkan oleh Ultras Malaya sebelum aksi.

Masih ingat tifo Satu Jiwa yang memperlihatkan dan menggambarkan seekor harimau yang berdiri megah memegang bendera Malaysia. Ia adalah tifo paling menarik perhatian ramai sehingga ke portal luar negara.

Sorakan Ultras Malaya Dan Penyokong Di SNBJ Ketika Benam Indonesia ‘Mendunia’

Kali ini, mereka hadir lagi dengan tiga tifo yang juga tidak kurang hebatnya. Untuk tiga perlawanan, tiga tifo gergasi telah dinaikkan dan tifo dalam perlawanan menentang Turkmenistan yang paling mencuri perhatian.

Ini kerana, ia menampilkan manusia tengkorak yang mendepa dua tangan memegang dua bola bernombor tujuh dan sembilan. Ia menimbulkan persoalan di kalangan penyokong, apakah maksud tersirat disebaliknya.

Maksud Sebenar Sebalik Tifo Ultras Malaya Ketika Aksi Bertemu Turkmenistan

Jadi, sebenarnya siapa yang mencipta lakaran tifo buat Ultras Malaya selama 10 tahun kebelakangan ini? Insan tersebut berada dalam Unit Tifo Ultras Malaya dan beliau ketika ini berada jauh di perantauan, di bumi asing.

Pencipta lakaran tersebut tidak berada di Malaysia, namun kudratnya masih ditagih oleh rakan-rakan di Ultras Malaya disebabkan kepakarannya dalam mencipta lakaran-lakaran tifo yang menarik buat mereka selama ini.

Bekerja, berkahwin dengan warganegara luar dan menetap di luar negara, Salehuddin atau nama panggilannya, Hudd adalah insan yang sentiasa menjadi rujukan. Unit Tifo sentiasa berganding bahu waima Hudd tiada di Malaysia. Ideanya sentiasa ditagih dari jauh di Belgium, 12,673km dari Malaysia dan akan disudahkan di sini.

Adakalanya, beliau akan turut sama turun ke Malaysia untuk bersama mereka dalam perlawanan-perlawanan melibatkan Malaysia. Seperti biasa, beliau adalah sumber rujukan penting buat Unit Tifo untuk penghasilan tifo.

Cuma sepanjang pusingan kelayakan kali ini yang mencipta sejarah buat Malaysia, beliau tidak dapat turun.

Tetapi, beliau sempat menitipkan bingkisan bagaimana lakaran dibuatnya di Belgium dan disiapkan di sini.

Menerusi Facebooknya, Hudd memuat naik video penghasilan tiro dari proses lakaran sehingga kepada proses rakan-rakan dari Unit Tifo menyiapkannya bersama-sama serta proses menaikkan tifo itu di dalam stadium.

Berikut adalah titipan khasnya buat rakan-rakannya di Ultras Malaya yang berada di bumi Malaysia.

“Salam hujung minggu warga bolasepak ASIA!
Aku simpan sini sebahagian sisipan kecil dari bingkisan sejarah KITA bersama.
2 lakaran akhir dari sini – 2 assist terakhir.
2 hantaran jauh yang disudahkan dengan tajam oleh sahabat-sahabat karib dan rakan-rakan sepasukan di unit kecil dalam keluarga besar kita, lalu lanjut disempurnakan oleh semua komrad dalam curva UM’07.
Tuhan saja yang tahu bertapa beratnya menanggung rindu dan rasa terkilan tak dapat bersama di lapangan kerja kali ini. Tuhan saja yang tahu rasa kecewa tak dapat meraikan kejayaan skuad kebangsaan layak ke Asia, bersama sahabat-sahabat semua dalam curva buat kempen kelayakan kali ini.
(15tahun sejak penubuhan UM. 42 tahun sejak layak secara merit, dan aku meraikannya seorang diri. 12,673km dari tanahair)
Selamat terus berkarya buat generasi baru UNITIF, semangat baru yang tak kenal lelah.. Cukup bangga dengan komitmen dan semangat yang dizahirkan pada ke semua 3 tifo yang ditegakkan. Tenaga muda hebat yang bakal meneruskan suara visual & kreativiti dalam Um07.
Terima kasih tulus dari Hati kecil ini buat semua sahabat2 yang setia bersama sejak penubuhan rasmi unit gerak kerja ini, 10-11 tahun yang lalu.
Dan terima kasih buat semua komrad terawal, yang terdahulu hingga ke yang paling muktakhir.
Panjang umur, luas rezeki, – kita jumpa tahun depan di kempen Piala Asia, InsyaAllah.
(sementara aku mereput di bumi Belgium ni sorang-sorang)
“JAGA SEMANGATMU SELALU”
Facebook O’ud Hudd

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN