“Perlu Kerja Keras Demi Tiga Mata Penting” – Aidil Sharin Mahu Pemain Sentiasa Bersedia

Perlawanan malam ini pastinya menjadi salah satu saat getir buat pengendali Kedah Darul Aman (KDA) iaitu Aidil Sharin Sahak dalam misi untuk meraih tiga mata penting buat pasukan selain melayakkan mereka ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala AFC 2022.

Walaupun bermula dengan langkah kiri dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan G menerusi kekalahan di tangan tuan rumah iaitu Bali United, selepas itu mereka mencipta kebangkitan dengan mencatat kemenangan besar atasi Kaya Ilo FC dalam perlawanan kedua.

Malam ini, KDA bakal berdepan perlawanan terakhir mereka dalam peringkat kumpulan untuk bertemu Visakha FC dari Kemboja dan hanya dengan kemenangan bakal menghidupkan peluang anak-anak buah Aidil Sharin untuk melepasi pusingan seterusnya.

Beliau nyata telah menegaskan kepada semua para pemain agar menanamkan mentaliti kemenangan dalam usaha untuk mendapatkan keputusan positif malam ini buat pasukan.

Pengendali dari Singapura itu juga menegaskan para pemain supaya perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia dengan ancaman lawan biarpun menyedari Visakha bukan satu lawan yang mudah dihadapi.

Selain itu Aidil juga menjelaskan setakat ini para pemain tidak perlu untuk terlalu memikirkan mengenai keadaan lawan, dan seharusnya yakin peluang seimbang sahaja untuk sesiapa meraih kejayaan.

“Visakha adalah pasukan yang kuat, mereka memenangi dua perlawanan berturut-turut. Tapi dalam bola sepak kita kena percaya yang sebelum perlawanan kedudukan adalah 0-0.

“Kami akan bekerja keras untuk dapatkan tiga mata, itu perkara paling penting untuk kami esok. Kita akan lihat (taktikal) apa yang terbaik untuk Kedah dan semua pemain perlu bersedia dengan mentaliti untuk menang.

“Satu motivasi apabila peluang masih terbuka untuk semua termasuk pasukan Kedah. Saya tak tahu apa fikiran Visakha kerana mereka sudah selesa dengan kemenangan,” katanya menerusi Berita Harian.

Pada perlawanan lalu, KDA berjaya mencatat kebangkitan bergaya apabila membenam cabaran Kaya Ilo FC dari Filipina dengan keputusan 4-1 di Stadium Kapten I Wayan Dipta.

Selain tampil dengan aksi bertenaga, skuad kendalian Aidil Sharin juga menguasai permainan dengan baik untuk menpamerkan kelas mereka tersendiri dalam saingan Piala AFC.

Setakat ini KDA berada di kedudukan ketiga carta Kumpulan G dengan tiga mata dikutip hasil satu kemenangan dan satu kekalahan daripada dua perlawanan dihadapi.

Sumber:
Berita Harian

Leave a Reply