Ingin Beraksi Di Pentas Tertinggi Liga Malaysia Jadi Faktor Utama Mintah Sertai KL City

Sekembalinya nanti dalam aksi saingan Liga Super 2022, Kuala Lumpur City (KL City) pastinya bakal diberi tumpuan ramai penyokong bola sepak tempatan setelah mereka berjaya mendapatkan khidmat Jordan Mintah daripada Terengganu secara pinjaman.

Penyerang itu yang diakui mempunyai kualiti tersendiri sentiasa idamkan aksi bersama pasukan utama Terengganu selaku pemain utama, namun sehingga musim ini beliau masih lagi sukar untuk merebut tempat dan perlu bermain bersama skuad ‘feeder’ dalam saingan Liga Premier.

Walaupun begitu, Mintah akui dirinya menghadapi saat getir dan sukar untuk membuat keputusan berpisah bersama Terengganu sebelum menyertai KL City.

Namun, inilah peluang yang dinantikan beliau selama ini. Untuk beraksi dalam saingan Liga Super dan peluang tersebut tidak akan sesekali dilepaskannya walaupun berstatus pinjaman.

“Saya akui ia keputusan yang begitu sukar untuk berpisah dengan rakan sepasukan lebih-lebih lagi selepas lebih dua tahun bersama mereka dengan pelbagai memori suka duka, lagipun saya anggap Terengganu bagaikan rumah kedua saya.

“Namun demi karier selain keinginan untuk meningkatkan lagi corak permainan dengan beraksi di pentas tertinggi Liga M, saya perlu membuat keputusan yang terbaik biarpun sedar rakan sepasukan dalam skuad TFC II pasti sukar menerimanya.

“Justeru, saya akan berusaha untuk menyesuaikan diri dengan secepat mungkin bersama rakan sepasukan yang baharu selain cuba meraih peluang terbaik untuk membantu juara Piala Malaysia musim lalu itu,” katanya menerusi Berita Harian.

Dalam masa sama, Mintah juga mengakui skuad kendalian Bojan Hodak itu sudah merisik beliau sejak musim lalu lagi untuk beraksi bersama di pentas tertinggi Liga Malaysia (Liga-M).

“Bermula musim lalu lagi KL City ada menyatakan hasrat untuk melamar saya, jadi dengan tawaran yang hadir lagi kali ini, sukar buat saya untuk menolaknya dan ia waktu yang sesuai untuk berhijrah menimba pengalaman baharu.

“Terima kasih pihak pengurusan TFC kerana memberikan kelulusan selain memahami dan sentiasa memberikan sokongan serta kata-kata semangat kepada saya untuk berjaya,” katanya.

Mintah bukan lagi nama asing dalam bola sepak negara biarpun lebih banyak beraksi di saingan Liga Premier pada musim lalu.

Pemain kelahiran Ghana ini pada musim 2021 telah meledak 16 gol keseluruhan untuk merangkul gelaran penjaring terbanyak Liga Premier.

Pada musim ini, Mintah masih mengekalkan konsistensi beliau dalam penghasilan gol apabila sudah meledak tujuh gol daripada sembilan perlawanan bersama Terengganu II.

Beliau sah menyertai KL City selaku pemain pinjaman ketika jendela perpindahan kedua lalu dibuka dari Terengganu II.

Sumber:
Berita Harian

Leave a Reply