Perlis FA Lancarkan Tabung Khas Bagi Menyelesaikan Masalah Kewangan

Krisis kewangan yang serius melanda Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) memaksa persatuan tersebut melancarkan satu tabung khas bagi menyelesaikan kemelut itu.

Pengumuman mengenai pelancaran tabung itu dibuat menerusi laman facebook rasmi Perlis FA dan setakat ini mereka berjaya mengumpulkan RM30 sehingga semalam.

“Pihak Persatuan mengucapkan terima kasih kepada penyokong setia Singa utara yang sanggup memberi sumbangan demi bolasepak negeri Perlis.

“Pihak Persatuan ingin menyeru seluruh rakyat Perlis khasnya peminat setia Singa utara sama samalah kita membantu mengumpul dana pasukan kita kembali.

“Walaupun RM1.00 disumbangkan lebih bermakna dari 1 kritikan tidak membina, teruskan memberi sumbangan demi bolasepak negeri Perlis,” kata kenyataan tersebut.

Sebelum ini, laporan daripada Berita Harian menyebut pasukan Perlis mungkin dibubarkan buat sementara waktu kerana itu merupakan jalan terakhir yang terpaksa diambil persatuan jika mereka tidak mampu untuk meneruskannya lagi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis, Hamizan Hassan, pembubaran ini adalah untuk mengilap bakat baharu sehingga sudah mempunyai pengurusan yang lebih baik.

“Saya dimaklumkan kali terakhir pemain dan staf menerima gaji adalah pada Mac lalu. Sehingga kini PFA masih belum mempunyai presiden selepas individu sebelum ini meletak jawatan.

“Malah jawatan timbalan presiden juga kosong. Sekiranya ahli persatuan tidak mampu teruskan ia mungkin akan terbubar sehingga satu tempoh kita dapat gilap semula bakat baru dan pada masa yang sama akan ada pengurusan baru yang lebih baik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kewangan kerajaan negeri yang terhad selain faktor perubahan lanskap politik membuatkan pihaknya tidak dapat membantu PFA dari sudut kewangan.

“Bola sepak bukan tidak diutamakan tetapi kita mempunyai perkara lain yang perlu diberi keutamaan.

“Kami membantu PFA dari sudut lain dengan memberi bantuan seperti menyediakan stadium dan padang untuk kemudahan pemain secara percuma serta hasil kutipan tiket juga menjadi hak PFA sepenuhnya,” katanya.

Selamatkan bola sepak Perlis

Diharapkan ada pihak yang sudi membantu dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi agar pasukan bola sepak Perlis tidak terkubur sekaligus hilang daripada saingan Liga Malaysia pada masa akan datang.

Perlis sebelum ini merupakan antara pasukan gergasi bola sepak negara apabila pernah memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat domestik seperti Piala Malaysia pada 2004,2006 dan Liga Super pada tahun 2005.

Era selepas milenia, kita menyaksikan kehebatan pasukan ini menjadi ‘giant-killer’ yang merobek ego pasukan yang besar di Malaysia.

Perlis adalah pasukan yang berjuang dengan cara bola sepak mereka sendiri. Mereka kerap hadir dengan status ‘underdog’ dengan tekanan sangat rendah di dalam padang.

Setelah mengecapi pelbagai kejayaan dalam saingan Liga Malaysia, pasukan ini yang dahulu mempunyai ramai penyokong tiba-tiba berubah dan mengalami kemerosotan yang teruk.

Pada musim 2011, mereka tersingkir ke Liga Premier untuk musim 2012. Mereka pernah beraksi di Liga FAM pada 2015. Liga yang tidak sepatutnya untuk mereka beraksi. Penyokong mereka sangat kecewa dengan penstrukturan yang lemah oleh pengurusan persatuan itu.

Sejak itu, nama pasukan Perlis tidak lagi digeruni dan malah penyokong bola sepak tempatan hampir ‘terlupa’ terdapat satu lagi pasukan bola sepak negeri dalam peta bola sepak Malaysia. Ya, nama pasukan bola sepak Perlis semakin dilupai oleh generasi kini dan seolah-olah hilang terus dari radar Liga Malaysia.

Barisan pemain Perlis yang masih setia walaupun tidak menerima gaji selama 4 bulan. FOTO: Perlis FA

Agak merugikan jika Perlis ‘dilenyapkan’ dari peta bola sepak Malaysia kerana negeri kecil ini ada ramai pemain muda yang berbakat besar dan telah melahirkan beberapa pemain bintang seperti Syazwan Zainon yang kini beraksi dengan pasukan Kedah dan Zafuan Azeman, penyerang skuad Malaysia Bawah 19 Tahun.

Jika Perlis tiada, ia bermakna bola sepak Malaysia telah kehilangan satu pool pemain muda yang berbakat dari utara tanah air. Anak muda Perlis akan kehilangan platform untuk ketengahkan bakat mereka di peringkat tertinggi.

Kami di SemuanyaBOLA menyeru kepada semua penyokong tegar pasukan Perlis agar membantu dengan menyumbang kepada tabung khas yang telah disediakan agar beban persatuan boleh diringankan dan dapat membina semula pasukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN