70 tahun dahulu pada 9 Ogos 1942, sebuah peristiwa bersejarah telah berlaku.
Ketika itu dunia dikuasai Adolf Hitler bersama gerakan Nazinya, peristiwa ini adalah tentang perlawanan bola sepak di antara penduduk tempatan Ukraine menentang bangsa Aryan yang diwakili oleh tentera Nazi.
Perlawanan ini lebih dikenali sebagai The Death Match.
72 hari
3 bulan selepas penjajahan tentera Nazi keatas Soviet Union, bandar Kiev telah dicerobohi oleh mereka.
Selepas pengepungan yang kejam dan berdarah berlangsung selama 72 hari, kerajaan Nazi ingin menjernihkan keadaan.
Mereka tidak mahu dilihat kejam dan brutal oleh penduduk tempatan. Justeru, mereka ingin mencipta ilusi dan kemakmuran kepada penduduk setempat dengan kehadiran mereka.
Mereka menganjurkan pelbagai acara kebudayaan dan sukan untuk merapati dan mendekatkan diri kepada penduduk tempatan.
Pada masa yang sama, Joseph Kordik yang merupakan seorang bangsa Moravian Czech dan juga penggemar bola sepak telah dilantik menjadi pengarah di sebuah kilang roti di Kiev.
Di sana beliau telah bertemu dengan Nikolai Trusevich, seorang bekas penjaga gol kelab Dynamo Kiev yang ketika itu meneruskan hidup dengan menjual pemetik api.
Disebabkan minatnya yang mendalam di dalam sukan, terutamanya bola sepak, Kordik kemudian menawarkan pekerjaan kepada Trusevich di kilang rotinya.
Kemudia, Kordik membawa masuk pula bekas rakan sepasukan Trusevich di Dynamo Kiev untuk bekerja di kilang roti. Terdapat juga beberapa pemain dari kelab tempatan yang lain seperti Spartak Odessa.
Dengan situasi bola sepak ketika itu yang hanya tinggal sebagai hobi akibat peperangan yang melanda, Kordik kemudian memutuskan untuk menubuhkan sebuah pasukan bola sepak yang mewakili kilang roti mereka.
Kordik kemudiannya bertindak mendaftar pasukan mereka kepada majlis bandaran, lalu tertubuhlah FC Start.
Selain dari bekas pemain professional terdahulu, FC Start diwakili oleh pengawal keselamatan, pekerja kilang, dan bekas anggota polis. Mereka kemudiannya berlatih bagi memantapkan pasukan.
Di satu sudut lain bandar Kiev, Georgi Shvetsov menubuhkan Ruch iaitu sebuah kelab bola sepak pro-Nazi.
Shvetsov sedar akan kualiti yang dimiliki oleh bekas pemain Dynamo Kiev, lalu dia menjemput beberapa orang daripada mereka untuk menyertai pasukan. Tetapi pelawaannya ditolak kerana beliau adalah seorang Nazi.
Lalu Shvetsov mengumpulkan pula pegawai penguatkuasa, pekerja kilang, para tentera yang pro-Nazi untuk mewakili Ruch.
Ideologi kedua kelab sangat berbeza dengan FC Start mewakili Ukraine, dan Ruch mewakili Nazi Jerman.
Pada awal pemerintahan Nazi di Kiev, bola sepak hanya dimainkan oleh bangsa Aryan dan sekutunya.
Namun kemudian mereka sangat kagum dengan permainan FC Start yang ketika itu sudah mula berlatih dan bermain perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab tempatan yang lain.
Mereka telah melihat FC Start menang 6-2 keatas kelab bangsa Hungary dan kemudian 7-2 keatas Ruch.
Shvetsov yang ketika itu berasa terhina kerana kalah telah memaklumkan berita kehebatan FC Start kepada pegawai tertinggi Nazi.
Lalu mereka pun berbincang dan bercadang untuk menghantar pasukan terbaik Jerman ketika itu iaitu Flakelf untuk berlawan dengan FC Start.
Flakelf ialah sebuah kelab bola sepak dari unit artileri tentera Nazi.
Mereka terdiri daripada juruterbang, jurutera dan penembak anti pesawat di lapangan terbang Kiev.
Mereka diuruskan oleh Hermann Goring, seorang yang bertanggungjawab menghalang para pemainnya daripada dikerahkan ke medan perang kerana pasukan Flakelf ketika itu diwakili oleh pemain yang sangat berbakat.
Mereka kemudian diaturkan untuk berlawan dengan FC Start.
Hari perlawanan
Pertemuan mereka berlangsung pada 6 Ogos 1942. Pada perlawanan itu, Flakelf ternyata bukanlah lawan kepada FC Start apabila mereka dibelasah 5-1.
Kekalahan ini tidak dapat diterima oleh pihak Nazi. Bagi Nazi kekalahan Flakelf adalah suatu penghinaan kepada ideologi mereka.
Mereka tidak mahu dilihat lemah dalam apa cara sekalipun. Lalu pertemuan semula dengan FC Start diatur tiga hari kemudian.
Poster-poster perlawanan mula dicetak, ia ditulis sebagai perlawanan membalas dendam oleh Nazi.
Perlawanan ini diberi publisiti yang meluas dan dihebahkan ke seluruh bandar Kiev. Pegawai-pegawai tertinggi tentera Jerman juga dijemput hadir.
Bangsa Ukraine yang ketika itu tertindas oleh kekejaman tentera Jerman menghebahkan kepada semua rakyat jelata.
Pada hari perlawanan, seramai 2 ribu orang telah hadir terdiri daripada penduduk Kiev.
Mereka punya azam mahu melihat bangsa Jerman dibelasah. Dan pada perlawanan kedua itu, FC Start mendahului Flakelf dengan kedudukan 3-1 pada separuh masa pertama.
Pegawai Nazi yang menghadiri perlawanan itu ternyata tidak berpuas hati lalu menerjah ke bilik persalinan FC Start pada waktu rehat.
Dengan wajah bengis beserta pistol yang tersisip di sisi, beliau telah memberi amaran kepada para pemain FC Start.
“Hanya bangsa Jerman sahaja yang boleh menang hari ini!”
Lalu beliau berlalu keluar dan pergi ke bilik persalinan Flakelf pula.
“Anda mesti menang, buktikan keunggulan bangsa Aryan!”
Pemain Flakelf kemudian masuk ke padang pada babak kedua dengan penuh bersemangat manakala pemain FC Start pula mula terlihat goyah. Hasilnya, Flakelf berjaya menyamakan kedudukan 3-3.
Melihatkan keadaan ini, penonton yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk tempatan telah menyedari sesuatu telah berlaku pada waktu rehat.
Mereka kemudiannya telah bertindak melaungkan sorakan yang menaikkan semangat pemain FC Start dengan menyanyikan slogan anti Nazi dan melaungkan kata-kata yang penuh patriotik.
Mereka yang menderita akibat diseksa Nazi bertindak meluahkan segala-galanya melalui sorakan ketika perlawanan.
Bagi mereka ini bukanlah sekadar perlawanan bola sepak biasa. Ia adalah pertempuran diantara bangsa Ukraine dan Jerman!
Lalu para pemain FC Start bangkit dan berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 5-3.
Pasca perlawanan
Pegawai tentera Jerman, Friedrich Rogausch yang menyaksikan peristiwa ini berasa malu dan terpukul kerana telah kalah.
Beliau kemudian telah bertindak mengharamkan sebarang perlawanan bola diantara bangsa Jerman dan Ukraine.
Pada 18 Ogos 1942, kesemua para pemain FC Start telah ditahan oleh tentera Nazi atas sebab-sebab yang dirahsiakan.
Mereka kemudian telah dibawa ke kem tahanan Syrets di pinggir bandar Kiev dan diseksa selama lebih dari 3 minggu. 3 orang daripada mereka telah dibunuh kerana mereka adalah bekas polis rahsia Ukraine.
Seorang pemain, Mykola Korotkikh telah ditembak mati kerana disyaki terlibat dengan pasukan keselamatan Josep Stalin.
Manakala yang lain-lain telah ditahan dan diseksa di dalam penjara sehingga tamat perang.
Setelah peperangan tamat, mereka yang masih hidup telah dibebaskan. Pada 1964, mereka telah dianugerahkan pingat pahlawan oleh kerajaan Ukraine atas keperwiraan mereka.
Lalu sebuah monumen khas telah dicipta di hadapan pintu masuk stadium Valeriy Lobanovskyi Dynamo sebagai memperingati jasa mereka.
Perlawanan bola sepak mereka telah menjadi satu peristiwa yang menyedihkan.
Elemen sengit, politik dan mendebarkan telah menghuni peristiwa The Death Match itu kekal menjadi satu tamparan kepada ego Nazi.
Nota editor: Artikel ini merupakan tulisan saudara Sharell Eizwan. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .