Penolakan Siaran Langsung Oleh Kedah: Mengapa Kedah Kerap Dipilih Media Prima?

Gara-gara tindakan pihak pengurusan Kedah FA (KFA) yang menolak tawaran siaran langsung perlawanan Liga Super 2017 antara Kedah vs Selangor tempoh hari, ramai penyokong Kedah meluahkan rasa kecewa.

Terutamanya penyokong-penyokong Kedah yang berada di luar negeri Kedah.

Perlawanan yang pada awalnya dijadualkan akan bersiaran secara langsung di TV9 itu kemudiannya ditukar kepada siaran langsung perlawanan JDT vs Sarawak.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan KFA melalui laman Facebook mereka, KFA memberitahu ‘pemilihan mengenai sesuatu siaran langsung haruslah dibincangkan bersama antara pihak penyiar rasmi, pengendali liga serta pasukan yang terlibat’.

Kredit: Facebook / Kedah FA – Persatuan Bolasepak Kedah –

KFA turut menegaskan masih ada perlawanan pasukan lain dalam Liga Super yang masih belum disiarkan secara langsung dan mereka perlu diberi peluang sama.

Namun penyokong pasukan Lang Merah tidak terlalu naif. Mereka faham bahawa KFA menolak siaran langsung tersebut atas faktor jualan tiket yang semakin merosot – terutamanya bagi perlawanan yang disiarkan secara langsung di Stadium Darul Aman.

Perkara ini ada asasnya.

Ini kerana menurut maklumat yang boleh didapati di portal Sistem Pengurusan Maklumat Bola Sepak (SPMB) FAM setakat 1 Julai 2017 (LS 14), jumlah kehadiran penyokong ke Stadium Darul Aman ketika perlawanan disiarkan secara langsung sebenarnya merosot!

Berapa banyak jumlah kemerosotan tersebut? Sebanyak 11,172 secara purata!

Norazmi Ibrahim | www.asiana.my

Ini bermakna jika perlawanan tidak disiarkan secara langsung, jumlah purata kedatangan penyokong ke Stadium Darul Aman adalah sebanyak 21,000.

Manakala jika perlawanan disiarkan secara langsung jumlah purata pula adalah hanya sebanyak 9,828. Memang berbeza bukan? Jadi siapa yang bersalah dalam hal ini?

Fenomena bukan unik di Malaysia

Perkara ini bukan satu perkara janggal.

Liga Perdana Inggeris juga telah menetapkan bahawa mana-mana perlawanan yang berlangsung pada jam 3pm hari Sabtu tidak akan disiarkan secara langsung di England bagi menggalakkan penyokong untuk hadir ke stadium.

Begitu juga dengan National Football League (NFL) di Amerika Syarikat.

Di sana, NFL telah membuat satu polisi yang digelar blackout policy yang dikuatkuasakan pada tahun 1973 hingga 2014.

Blackout policy menyatakan sesebuah perlawanan tidak akan disiarkan secara langsung di kawasan yang merangkumi radius 120 batu dari kawasan tuan rumah MELAINKAN jualan tiket telah berjaya dijual sebanyak 80% dalam tempoh 72 jam sebelum perlawanan.

Contohnya katakan Kedah bermain dalam NFL yang menguatkuasa blackout policy.

Selagi jualan tiket tidak mencapai kadar jualan melebihi 80% dalam tempoh 72 jam sebelum perlawanan bermula, penduduk Kedah tidak akan dapat menonton perlawanan secara langsung di kaca TV mereka.

Menarik bukan?

Untuk rekod setakat ini, Kedah telah menerima 2 perlawanan secara langsung di Stadium Darul Aman untuk Liga Super 2017. Manakala 5 perlawanan lagi disiarkan secara langsung ketika Kedah beraksi di tempat lawan.

Bagi Piala FA 2017 pula, hanya 1 perlawanan disiarkan secara langsung di Stadium Darul Aman. 3 lagi perlawanan disiarkan di tempat lawan.

Dalam 2 pusingan perlawanan TM Piala Malaysia 2017, Kedah sebenarnya baru menerima satu perlawanan siaran langsung di tempat sendiri.

Ini menjadikan jumlah kekerapan pasukan Kedah ‘keluar TV’ adalah sebanyak 12 kali setakat ini.

Mengapa Kedah selalu dipilih?

Untuk pengetahuan anda, 12 kali adalah jumlah tertinggi yang dicatatkan oleh pasukan yang ‘keluar TV’ pada tahun ini.

Persoalannya mengapa perlawanan melibatkan Kedah sentiasa dipilih Media Prima untuk dibuat siaran langsung?

Adakah pekerja di Media Prima rata-ratanya ialah penyokong Kedah?

Sebenarnya pihak Media Prima telah melantik sebuah agensi yang bertugas memberikan data penonton kepada mereka. Data yang diberi adalah seperti demografik (umur, jantina, taraf ekonomi, latar belakang pendidikan) dan jumlah penonton.

Nama agensi yang memberikan perkhidmatan ini kepada Media Prima ialah Nielsen.

Menurut data Nielsen, secara purata penonton yang akan menonton mana-mana perlawanan yang melibatkan pasukan Kedah adalah sebanyak 1.24 juta.

Norazmi bin Ibrahim / asiana.my

Angka 1.24 juta penonton adalah angka yang boleh dikatakan agak besar untuk sesuatu program TV (masih rendah jika dibandingkan dengan program hiburan Media Prima lain). Terutama sekali jika kita mengambil kira demografik penonton TV yang semakin berkurangan ketika ini.

(Sebagai perbandingan, jumlah penonton rancangan Anugerah Juara Lagu pada 2015 adalah 6 juta. )

Jadi, Media Prima menggunakan angka ini sebagai justifikasi kepada pihak pemegang taruh mereka dalam keputusan mereka untuk menyiarkan perlawanan yang melibatkan pasukan Kedah.

Angka ini juga dijaja kepada syarikat-syarikat atau mana-mana entiti perniagaan yang ingin mengiklankan produk mereka ketika perlawanan siaran langsung di kaca TV.

Jika anda menonton siaran langsung perlawanan di Media Prima, iklan-iklan yang keluar sewaktu siaran langsung perlawanan adalah iklan syarikat-syarikat besar antarabangsa seperti Honda, Unilever dan Coway.

Ini satu peningkatan yang menggalakkan untuk industri bola sepak tempatan sebenarnya kerana jika dibandingkan pada tahun lepas, banyak iklan yang keluar adalah dari syarikat-syarikat tempatan.

Jika perlawanan siaran langsung bola sepak kita berjaya menarik iklan daripada syarikat-syarikat yang lebih ternama, ini memberi gambaran bahawa industri bola sepak tempatan kita mempunyai potensi.

Secara tidak langsung, ia turut bermakna Kedah mempunyai potensi nilai komersial yang tinggi berbanding pasukan-pasukan lain.

Potensi nilai komersil Kedah amat tinggi

Bagi syarikat-syarikat korporat, nilai komersial adalah perkara yang sangat dititik beratkan jika mereka ingin membuat pelaburan dari sudut pengiklanan.

Dan nilai ini jugalah akan dijadikan salah satu faktor sewaktu membuat penilaian untuk menentukan nilai hak penyiaran.

Atas sebab inilah, ia tak menghairankan apabila Real Madrid mampu menjana pendapatan sebanyak ‎€199.9 juta pada musim lepas melalui penjualan hak penyiararan sahaja.

Ini kerana mereka mempunyai viewership atau jumlah penonton yang menonton perlawanan mereka yang sangat tinggi.

Kedah sepatutnya menggunakan peluang ini untuk ‘memancing’ lebih banyak syarikat-syarikat korporat yang berpotensi menjadi penaja mereka. Bukan hanya sekadar mengharap duit jualan tiket dan kerajaan negeri semata-mata.

Jika Kedah tahu dan memanfaatkan 100% potensi nilai komersil mereka ketika ini, ia sekaligus dapat mengukuhkan kewangan pasukan mereka.

Namun penyokong juga mempunyai peranan yang penting. Mereka perlu datang ke stadium untuk memberikan sokongan penuh kepada pasukan mereka. Bukannya hanya duduk di depan TV sambil mengunyah kuaci.

Ini kerana kehadiran penonton ke stadium tetap memberikan impak yang sangat besar kepada pasukan dan juga sumber kewangan pasukan.

Adalah sesuatu yang sangat mengecewakan jika sesuatu perlawanan berlangsung tanpa sorak pekik penyokong di dalam stadium.

Sumber:

1. Wikipedia (2017). National Football League television blackout policies. https://en.wikipedia.org/wiki/National_Football_League_television_blackout_policies

2. MStar (2015). Anugerah Juara Lagu Ke 29 (AJL 29) Raih 6 Juta Penonton. http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2015/01/21/enam-juta-tonton-ajl29/#1HsWSLM0P4GK6wVe.99

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN