Skrip perlawanan akhir MLS Cup 2017 mengulangi edisi tahun lalu. Toronto mahu menumbangkan Seattle Sounders kali ini. Tahun lalu, mereka tewas kepada Sounders melalui sepakan penalti.
5 berbalas 4, itulah skor diraih oleh Sounders sekaligus meranapkan harapan Toronto. Toronto beraksi di laman sendiri pada ketika itu.
Perlawanan ini dilangsungkan genap hampir setahun Sounders menewaskan mereka. BMO Field di Toronto sekali lagi menjadi gelanggang perlawanan akhir ini.
Perjalanan Toronto
Toronto menduduki carta teratas Eastern Conference dengan meraih 69 mata daripada 34 perlawanan. Pada perlawanan separuh akhir Eastern Conference, mereka menewaskan New York Red Bulls melalui agregat gol di tempat lawan.
Toronto menewaskan Red Bulls pada perlawanan pertama melalui skor 2 berbalas 1. Red Bulls memenangi perlawanan timbal balik dengan 1 gol sahaja. Peraturan gol lawan itu menyelamatkan mereka.
Final Eastern Conference menyaksikan Colombus Crew menjadi penghalang kemaraan mereka. Perlawanan pertama di Colombus, mereka seri tanpa jaringan. Tetapi pada perlawanan kedua, Jozy Altidore menjadi hero Toronto dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Bagi ketua jurulatih Toronto, Greg Vanney mahu pasukannya membuat serangan dan merancang permainan dengan rapi. Perancangan rapi perlu untuk menjaringkan gol lebih-lebih beraksi di laman sendiri.
Ekspedisi mengekalkan trofi buat Sounders
Ketua jurulatih Sounders, Brian Schmetzer mengatakan beliau mahu anak buahnya menyerlahkan aksi serangan yang baik pada perlawanan akhir. Mereka juga mahu kekalkan momentum bentang pertahanan agar tidak bolos.
Seattle Sounders menamatkan kempen Regular Season dengan meraih 53 mata daripada 34 perlawanan. Mereka menduduki tangga kedua.
Semasa semi-final Eastern Conference, Clint Dempsey membuktikan dirinya berbaloi dengan menjaringkan dua gol. Malah, dua gol itu membantu mereka benamkan Vancouver Whitecaps pada perlawanan kedua. Perlawanan pertama menyaksikan mereka buntu menjaringkan gol.
Houston Dynamo ditewaskan mereka dengan begitu teruk pada perlawanan akhir Eastern Conference. Gawang Dynamo 5 kali dibolosi. 2 pada perlawanan pertama, bakinya pada perlawanan kedua.
Toronto mahu ‘double’
Toronto sudah pasti mahu memenangi MLS Cup, sekaligus menjadi trofi kedua musim ini. Setelah regular season tamat, mereka dinobatkan sebagai juara Supporters Shield. Ini kerana mereka menduduki tangga teratas liga.
Seattle pula ingin meraih kejuaraan MLS Cup kedua berturut-turut. Juara MLS Cup musim ini akan meraih tiket untuk beraksi dalam CONCACAF Champions League 2018-19.
Aksi perlawanan final ini amat mendebarkan. Segalanya akan terjawab pada 10 Disember 2017 (waktu Malaysia).