Aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh berlangsung dalam keadaan padang yang tidak begitu baik akibat cuaca hujan yang turun sebentar tadi.
Perlawanan ini menyaksikan pasukan Perak berjaya menguasai perlawanan dengan baik namun pasukan T-Team yang menjadi pasukan pertama yang melakukan percubaan seawal 40 saat permainan.
Namun Yashir Pinto menemui jaringan selepas rembatan beliau dari tepi kotak penalti menerjah jaring pada minit ke-12.
Selepas gol tersebut Perak terus mencari gol kedua dengan melakukan pelbagai percubaan ke arah pintu gol namun mereka tidak berjaya menemui sebarang jaringan.
Separuh masa kedua menyaksikan T-Team beraksi penuh tenaga untuk mencari gol penyama dalam perlawanan ini.
Hasilnya, Dilshod Sharofetdinov berjaya menyamakan kedudukan hasil daripada tolakan mudah ke dalam pintu gol selepas serangan awal di separuh masa kedua memberikan hasil yang diinginkan.
T-Team bagaikan ‘dirasuk’ semangat membara selepas mendapat gol penyamaan apabila mereka terus mencuba untuk mendapatkan gol kedua namun ketumpulan penyudah memisahkan mereka dari memperoleh gol kedua.
Perak cuba untuk mencabar namun mereka cuma berjaya melakukan beberapa percubaan menerusi Thiago Aquino – selebihnya T-Team melakukan penguasaan bola dengan baik.
T-Team sering melakukan taktik yang sama untuk mencari gol apabila melakukan cut-back dari sebelah tepi ke bahagian tengah apabila tiba di kotak penalti Perak.
Namun taktik itu kadangkala tidak berjaya dibaca dengan baik oleh pertahanan Perak lagi-lagi apabila diserang balas pantas.
Namun pada minit ke-71 taktik itu membawa hasil apabila Fakhurazi Musa menjaringkan gol kedua T-Team yang memberikan gol pendahuluan buat pasukan pelawat.
Selepas bolos, Perak terus menekan pasukan T-Team untuk mencari gol penyamaan.
Pelbagai serangan dilakukan dengan taktik hantaran lintang tinggi, namun pemain Perak gagal menterjemah setiap peluang yang ada.
Walaupun sering menyerang, Perak perlu mengimbangi diantara bertahan dengan menyerang kerana mereka sering diserang balas dengan pantas oleh pasukan lawan.
T-Team hampir diberikan sepakan penalti selepas Mahmadou Samasaa dijatuhkan Amirul Azhan dalam kotak penalti namun pengadil merasakan pemain import itu sengaja menjatuhkan dirinya.
Rembatan padu dari Nasir Basharuddin hampir saja menembusi pintu gol namun rembatan padunya tidak berjaya melepasi kawalan penjaga gol Hafidz Romly.
T-Team seolah bermain park the bus pada 10 minit terakhir ini kerana mereka tidak mahu dibolosi oleh percubaan-percubaan dari pasukan tuan rumah.
5 minit masa tambahan digunakan sebaiknya oleh pasukan Perak untuk mencari gol penyamaan namun mereka gagal menggunakan peluang yang ada.
Namun Perak memperoleh penalti pada minit terakhir permainan selepas bola terkena pemain lawan.
GOL! Hadi Yahya menjaringkan penalti yang merupakan sepakan terakhir dalam perlawanan ini.
Tamat perlawanan, Perak 2-2 T-Team.
Kesebelasan utama
Perak: Hafizul Hakim (penjaga gol), Shahrom Kalam (kapten), Thiago Aquino, Jasazrin Jamaluddin, Amirul Azhan, Yashir Pinto, Hafi Kamal, Faton Toski, Shahrul Saad, Zaquan Adha, Vladislav Mirchev.
T-Team: Hafidz Romly (penjaga gol), Kamal Azizi, Abdoulaye Maiga, Amir Zafran, Arif Fadzilah, Hasbullah Awang (kapten), Dilshod Sharofetdinov, Badrul Hisyam Morris, Fakhurazi Musa, Hakim Hassan, Mahmadou Samassa
Baca juga: Rangkuman Sesi Dialog TMJ Bersama Penyokong Dan Media