Semuanya BOLA

Perak Tewaskan Felda United, Ungguli Carta Kumpulan B

Perak mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan B saingan Piala Malaysia 2017 apabila berjaya menundukkan Felda United 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.

Kedua-dua pasukan yang sudah mengesahkan kemaraan ke saingan suku akhir menurunkan barisan ‘pemain yang jarang diturunkan’ pada perlawanan yang menjadi penentuan juara kumpulan B ini.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai perlawanan ini kerana para pemain kedua-dua pasukan kelihatan agak santai kerana ketiadaan pemain-pemain utama yang direhatkan pengendali Perak dan Felda United.

Perlawanan bermula dengan perlahan apabila bola lebih banyak berlegar-legar di tengah padang tanpa sebarang percubaan berbahaya dilakukan.

Gol yang dinantikan penyokong tuan rumah menjelma pada minit ke-25 menerusi rembatan dari jarak 25 meter oleh Mohd Nizad Ayub yang terus menerjah gawang Felda United yang dikawal Muhamad Ilham Amirullah.

Kedudukan kekal hingga tamat babak pertama dengan jaringan dari Nizad itu menjadi pemisah.

Memasuki babak kedua, Felda United memperkemaskan aksi bagi mendapatkan jaringan penyamaan. Larian deras yang dilakukan Muhammad Hadin Azman di sayap kanan beberapa kali memerangkap pertahanan Perak.

Usaha tersebut membuahkan hasil setelah pemain muda Felda United, Muhammad Daniel Amier bijak mencuri peluang apabila berjaya menahan sepakan dari Jasazrin Jamaludin untuk jaringan penyamaan pada minit ke-51.

Jaringan tersebut tidak mematahkan semangat ‘barisan kedua’ Perak itu untuk kembali menghasilkan jaringan pendahuluan.

Shahrul Saad muncul sebagai wira buat skuad bimbingan Mehmet Durakovic apabila menyudahkan hantaran leret berpunca dari sepakan percuma Zaquan Adha Abd Radzak untuk gol kemenangan buat Perak pada minit ke-79.

Dengan kemenangan ini menyaksikan Perak bakal berdepan Pahang dalam saingan suku akhir manakala Felda United akan bertemu PKNP FC.

Barisan pemain

Perak :

Muhamad Syazani Mat Puat (Penjaga Gol), Mohamad Idris Ahmad (Amirul Azhan Aznan), Shahrul Mohd Saad (Ketua Pasukan), Shathiya A/L Kandasamy, Jasazrin Jamaludin, Kenny Pallraj A/L Davaragi (Leandro Dos Santos Oliveira), Wan Mohd Syukri Wan Ahmad (Nasir Basharudin), Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, Ahmad Khairil Anuar Zamri, Abdul Hadi Yahaya & Mohd Nizad Ayub

Felda United :

Muhamad Ilham Amirullah (Penjaga Gol), Hasnizaidi Jamian, Dino Djulbic, Nor Fazly Alias, Mohd Alif Mohd Yusof, Ahmad Azriddin Rosli (Ali Imran Alimi), Muhammad Danial Amier, Zah Rahan Krangar (Ketua Pasukan), Muhammad Fakhrul Aiman Sidid, Muhammad Hadin Azman (Curran Lawrance Singh Ferns) & Norshahrul Idlan Talaha (Wan Zack Haikal Wan Nor)

Kami perlukan bantuan anda.

Saban hari, semakin ramai peminat bola sepak membaca Semuanya BOLA. Seiring dengan pertambahan pembaca ini, kos operasi kami turut meningkat. Jadi anda boleh nampak kenapa kami perlukan bantuan anda. Untuk memastikan penulis-penulis kami dapat terus membekalkan konten-konten yang tidak bias dan berkualiti kepada anda, duit dan kerja keras sangat diperlukan. Tetapi kami buat juga kerana kami percaya anda berhak mendapat maklumat berkualiti dari media yang telus, bebas dan terbuka.

Sumbangan anda membolehkan masa depan penulis-penulis kami terus terjamin. Dengan hanya RM5, anda boleh menyokong Semuanya BOLA - dan ia hanya mengambil masa 1 minit. Terima kasih.

atau Beri Sumbangan