Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) hari ini menzahirkan rasa terima kasih mereka terhadap Malaysian Football League (MFL) yang telah membantu mereka dalam hal pindaan perlawanan.
Pihak PAFA telah meminta MFL pada minit akhir untuk meminda jadual perlawanan ketiga Liga Super 2019 menentang Kuala Lumpur yang sepatutnya dijadualkan pada Jumaat ini.
Hasil dari permohonan itu, MFL berhasil meminda tarikh perlawanan tersebut dengan satu tarikh baharu akan diumumkan kelak.
Menurut laman rasmi PAFA di Facebook, mereka telah pun merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MFL di atas usaha mereka itu.
“Pihak PAFA ingin merakamkan setinggi-tinggi penhargaan kepada MFL yang diatas kesudian untuk menangguhkan perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur untuk ke satu tarikh yang lain.”
Dalam masa yang sama, pihak PAFA juga turut memohon maaf kepada MFL dan melakukan penafian mengenai laporan yang mengatakan badan pentadbir liga itu menolak permohonan mereka.
Menurut PAFA, mereka tidak sama sekali mendakwa MFL tidak melayan permohonan mereka.
“Kami ingin meminta maaf secara terbuka di atas kenyataan yang mengatakan pihak MFL tidak mengendahkan permohonan kami untuk meminda perlawanan.”
Perak dijadualkan akan menentang Kuala Lumpur pada aksi awal minggu ketiga Liga Super di Stadium KLFA, Cheras.
Mereka akan beraksi pada Jumaat, 15 Februari.
Sebelum itu, mereka beraksi menentang Kitchee FC di Stadium Perak, Ipoh yang menyaksikan mereka menang menerusi penentuan sepakan penalti.
Mereka layak ke pusingan seterusnya dan akan menentang wakil Korea Selatan iaitu Ulsan Hyundai.