Walaupun Mehmet Durakovic gagal membawa pasukannya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 apabil tewas kepada JDT menerusi agregat 1-4, jurulatih yang berusia 52 tahun itu menegaskan skuad The Bos Gaurus mempunyai masa depan yang cerah berdasarkan kualiti pemain muda yang mereka miliki ketika ini.
“Pemain seperti Beto (Ahmad Khairil Anuar Zamri), Nazirul Naim (Che Hashim) Amirul Azhan Aznan dan penjaga gol, Hafizul Hakim (Khairul Nizam Jothy) adalah masa depan buat Perak.
“Ketiadaan lima pemain utama yang cedera memang menyukarkan kami, tapi mereka (pemain muda) tetap mempamerkan persembahan yang menakjubkan.
“Sepuluh tahun Perak menunggu untuk ke final Piala Malaysia, namun kami terpaksa terima tidak dapat menunaikan impian itu. Namun, pasukan Perak tetap seperti satu keluarga, kami menang bersama dan kalah pun bersama,” katanya kepada Berita Harian.
Bercakap mengenai aksi perlawanan separuh akhir 2 Piala Malaysia di Stadium Larkin, Durakovic enggan mengulas lanjut mengenai jaringan penyamaan Perak pada minit ke-61 yang dibatalkan oleh pengadil kerana ofsaid sedangkan ia adalah gol sendiri pemain JDT, S Kunanlan yang tertampan masuk bola hantaran Gilmar Da Silva.
“Saya tidak tahu untuk komen,” kata Durakovic ketika ditanya adakah insiden itu menjadi punca kekalahan pasukannya.
“Apapun, saya bangga dengan semua pemain dan selepas ini kami akan pulang (ke Ipoh) untuk lakukan sesi pemulihan, melihat jika ada pemain yang cedera untuk persediaan perlawanan akan datang,” ujarnya.
Sumber :
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2017/10/340578/masa-depan-perak-cerah-durakovic