Mohamed Ghaddar Yakin Piala Malaysia 2017 Akan Ke Bumi Johor!

Penyerang import dari Lebanon, Mohamed Ghaddar berkata mentaliti kemenangan yang ada di dalam skuad Johor Darul Ta’zim akan menjadikan karier bola sepaknya sesuatu yang tidak boleh dilupakan, setelah juara Liga Super 2017 itu menempah slot ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2017.

JDT layak ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan cabaran Perak, untuk berhadapan dengan juara bertahan Kedah dalam aksi perlawanan akhir pertandingan bola sepak paling berprestij di dalam negara ini pada bulan hadapan.

Mohammed Ghaddar Kini Sudah Merekodkan 23 gol peribadi. Foto: Rasul Azli Samad

Ketika kemenangan 3-0 ke atas Perak pada perlawanan separuh akhir kedua di Larkin pada Sabtu yang lalu, impak Ghaddar agak senyap dalam perlawanan tersebut.

Beliau menjaringkan gol penting ketika perlawanan separuh akhir pertama di Ipoh. Namun di Larkin, giliran gandingan Ghaddar, Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra melakukan impak dalam memastikan JDT menuju ke Shah Alam pada 4 November akan datang.

Untuk rekod, Ghaddar pernah bergelar pemenang Piala Malaysia ketika mewakili Kelantan pada 2012.

Dan pada usia 33 tahun, Ghaddar berpendapat persekitaran yang disifatkan beliau sebagai ‘profesional’ sangat sesuai untuk merealisasikan impiannya selepas berpindah dari Kelantan FA pada Mei lalu.

Kredit: JOHOR Southern Tigers, Facebook.

Dalam satu temuramah bersama ESPN, Mohamed Ghaddar dipetik sebagai berkata:

“Semuanya tampak bagus di JDT. Kemudahan yang ada amat hebat. Skuad ini mempunyai barisan pemain yang bagus serta memiliki seorang pemimpin yang hebat dan seting memberikan kami motivasi.”

“Berhadapan Kedah di perlawanan akhir, saya sangat pasti ia adalah perlawanan yang sukar. Pada saya peluang kemenangan adalah 50-50 untuk kedua-dua buah pasukan.”

“Tetapi jika kami bermain dengan baik serta mengikut perancangan, saya pasti Piala Malaysia akan menjadi milik JDT. Buat masa ini, kami tidak mempunyai sebarang masalah kecederaan. Sudah tentu saya berharap ia akan kekal sebegitu menjelang perlawanan akhir tersebut.”

Sepanjang karier profesionalnya, Ghaddar telah beraksi bersama 13 pasukan lain. Namun kabinet kejuaraan miliknya memiliki medal dan trofi yang kebanyakannya dimenangi di Malaysia.

Salah satunya ialah ketika Ghaddar berada di bawah bimbingan Bojan Hodak, membantu Kelantan memenangi gelaran ‘trebel’ pada 2012.

Selain daripada membantu JDT menjuarai Liga Super 2017, Ghaddar juga merupakan pendahulu jaringan untuk anugerah kasut emas pada musim ini.

Sehingga kini, Ghaddar telah menjaringkan 23 gol untuk JDT dan juga Kelantan di dalam pertandingan Liga Super 2017 dan beliau masih berpeluang menambah angka jaringan tersebut pada Sabtu ini.

Perlawanan bertemu Kedah di Stadium Darul Aman pada Sabtu akan datang adalah perlawanan terakhir Liga Super 2017 pada musim ini. Bagi pemerhati bola sepak tempatan, ia ibarat pra perlawanan akhir Piala Malaysia 2017.

Sepertimana JDT, Kedah turut menampilkan prestasi yang menakjubkan pada perlawanan separuh akhir menentang Felda United pada hujung minggu yang lalu apabila layak ke perlawanan akhir dengan agregat 3-1, setelah menang 2-0.

Pemain pertahanan JDT, Junior Eldstal mempunyai pendapat beliau yang tersendiri untuk perlawanan tersebut.

Sumber: Laman Facebook Junior Eldstal.

“JDT sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super. Maka kami kena bermain dengan bijak. Saya pasti, kedua-dua pasukan akan menyembunyikan kekuatan sebenar pasukan masing-masing.”

“Saya tidak berpendapat perlawanan pada hujung minggu ini adalah ujian sebenar buat kedua-dua pasukan. Tetapi kami jelas dengan siapa kami berhadapan nanti,” ujar Eldstal.

Ketua jurulatih JDT, Ulisses Morais mengesahkan bahawa beliau akan menampilkan kesebelasan terbaik untuk perlawanan pra perlawanan akhir tersebut.

Tetapi menyedari kepentingan perlawanan akhir yang akan berangsung 7 hari kemudian, perlawanan pada hujung minggu ini lebih disifatkan sebagai perang psikologi untuk kedua-dua pasukan.

Kedah turut tidak mempunyai sebarang taruhan di dalam liga setelah melayakkan diri ke pertandingan AFC pada musim hadapan sebagai juara Piala FA, walaupun sekadar berada di tangga ke-4 di belakang Felda United di kedudukan Liga Super.

Perlawanan pertama di antara kedua-dua pasukan menyaksikan Kedah mengikat JDT dengan jaringan 1-1 di Larkin, sebelum pasukan dari utara itu dinobatkan sebagai pemenang Piala Sumbangsih melalui kemenangan sepakan penalti.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN