Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tanpa berselindung mengakui menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (2019/20) di tempat kedua adalah lebih penting buat skuad bimbingannya berbanding menjuarai Piala FA.
Manchester City terlepas peluang terbaik untuk menjulang trofi liga paling popular di dunia itu buat kali ketiga berturut-turut selepas Liverpool dinobatkan selaku juara pada musim ini.
Susulan dengan kekecewaan tersebut, Guardiola beranggapan amat penting buat The Cityzens untuk mengekalkan kedudukan kedua yang sedang dinikmati pada ketika ini.
”Pasukan ini mahukan kejuaraan, jadi ia jelas bukan pengakhiran yang sempurna tetapi ianya merupakan satu petanda aras di mana lawan kami [Liverpool] sangat kuat dalam saingan [liga] ini dan kami tidak berada di tahap itu.”
”Kami tidak boleh menafikan bahawa sasaran berada di tempat kedua adalah lebih baik daripada memenangi Piala FA, Carabao dan lain-lain serta layak ke Liga Juara-Juara Eropah, di mana semua kelab bersaing untuk mendapatkannya.”
”Kami bukanlah pasukan yang terbaik, ia milik pasukan lain [Liverpool] tetapi kami lebih baik berbanding 18 pasukan yang lain.”
”Itu merupakan sasaran kami untuk menamatkan saingan musim ini,” ujar Guardiola menurut laporan Goal.
Ketika saingan EPL 2019/20 hanya berbaki empat perlawanan untuk ditamatkan, Manchester City berkelebihan sembilan mata mengatasi pencabar terdekat, Chelsea.
Kevin De Bruyne dan rakan sepasukan hanya memerlukan satu mata sahaja lagi untuk mengesahkan tempat kedua tersebut dan mereka akan berkunjung ke Falmer Stadium untuk menentang Brighton pada awal pagi nanti.
Dalam pada itu, Manchester City masih di landasan yang tepat untuk menjulang dua lagi piala apabila akan berdepan Arsenal pada aksi separuh akhir Piala FA dan bakal menghadapi Real Madrid pada perlawanan kedua peringkat 16 kempen Liga Juara-Juara Eropah.
Kredit foto: Laurence Griffiths/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Pep Guardiola: