Pengurus Manchester City, Josep ‘Pep’ Guardiola percaya bahawa pemain sayap, Raheem Sterling mampu untuk mencetak 30 jaringan pada kempen musim ini.
Pada musim 2018/19, pemain berusia 24 tahun itu berjaya menjaringkan 25 gol dan 17 daripadanya terhasil dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Sehubungan dengan itu, Guardiola optimis dengan keupayaan Sterling untuk memperbaiki pencapaian tersebut.
Beliau bermula dengan cemerlang setelah meledakkan hatrik pada aksi sulung EPL 2019/20 pada pertemuan menentang West Ham United di Stadium Olimpik, London yang menyaksikan The Cityzens menang bergaya 5-0.
”Ya, diharapkan dia dapat menjaringkan 30 gol. Ia bagus untuk dirinya dan buat pasukan.”
”Apabila dia berada di hadapan gawang lawan, dia berjaya menjaringkan gol. Jadi, dia mampu untuk melakukannya.”
”Ya, dia menjaringkan 25 gol pada musim lalu dan dari 25 ke 30 hanya lima jaringan sahaja. Dia boleh melakukannya.”
”Tetapi saya tidak tahu. Saya tidak pernah bercakap dengan Sergio Aguero, Gabriel Jesus atau Raheem (Sterling) mahupun mana-mana pemain di bahagian hadapan tentang apa yang mereka impikan dan sasar, jadi sejujurnya saya tidak tahu.”
”Saya merasakan mereka gembira apabila menjaringkan gol, sama seperti semua pemain lain yang beraksi di jentera serangan.”
Selepas begitu menjadi pada aksi sulung, jentera serangan Manchester City berdepan tugas sedikit sukar apabila akan berdepan Tottenham Hotspur di laman sendiri, awal pagi esok.