Barcelona & Bayern Munich Capai Persetujuan, Lepaskan Phillipe Coutinho Secara Pinjaman

Philippe Coutinho

Nasib tidak menentu pemain sayap Barcelona, Phillipe Coutinho akhirnya terungkai selepas beliau akan dipinjamkan ke Bayern Munich.

Ia menyaksikan Coutinho akan dipinjamkan selama satu musim berserta pilihan pembelian secara tetap yang turut termasuk dalam perjanjian tersebut.

“Secara prinsipalnya, pihak kelab mengesahkan kata sepakat telah berjaya dicapai untuk meminjamkan Coutinho ke Bayern (Munich),” jelas Guillermo Amor yang merupakan Pengarah dan jurucakap rasmi Barcelona.

Pengesahan turut dibuat oleh Pengarah Sukan Bayern Munich, Hassan Salihamidzic.

”Saya dapat mengesahkan bahawa Karl-Heinz Rummenigge (CEO Bayern Munich dan saya telah berada di Barcelona pada minggu ini dan kami telah mencapai persetujuan bersama Barcelona FC bersama-sama pemain tersebut (Coutinho) dan ejennya.”

“Kami telah mengadakan perbincangan yang sangat baik, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FC Barcelona.”

”Sudah tentu, kami masih belum mendapatkan beberapa perkara seperti tandatangan dan ujian perubatan tetapi kami gembira berjaya mendapatkan pemain sepertinya.”

“Ia merupakan perpindahan secara pinjaman selama semusim, diikuti dengan pilihan pembelian secara tetap buat FC Bayern.”

Kehadiran Phillipe Coutinho itu dilihat tepat pada masanya selepas dua pemain sayap Bayern Munich, Franck Ribery dan Arjen Robben telah mengumumkan persaraan selepas berakhir kempem musim lalu.

Sebelum ini, Bayern Munich telah melengkapkan perpindahan secara pinjaman pemain kebangsaan Croatia, Ivan Perisic.

Nampaknya, jentera sayap Bayern Munich seperti bakal kembali menjadi igauan ngeri buat pasukan lawan terutamanya dalam saingan Bundesliga.

Leave a Reply