Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mendedahkan kelab berkenaan melupakan hasrat untuk mendapatkan Alexis Sanchez kerana enggan meletakkan stabiliti yang dimiliki oleh skuad sedia ada di dalam risiko.
Guardiola menyokong tindakan pengurusan Manchester City untuk mengakhiri usaha untuk mendapatkan pemain antarabangsa Chile itu selepas berpendapat nilai £35 juta untuk pemain yang mempunyai baki kontrak 6 bulan, dan gaji £500,000 seminggu yang dipohon oleh Sanchez adalah terlampau tinggi.
City lebih berhati-hati di dalam struktur gaji pemain di Etihad sejak beberapa musim yang lalu. Jika mereka menurut tuntutan Sanchez, ini bermakna ia akan melebihi jumlah gaji tertinggi di Etihad sekarang, iaitu £250,000 seminggu yang dibayar kepada Sergio Aguero.
Jika Sanchez tiba dengan jumlah gaji setinggi lebih dua kali ganda yang diterima oleh Sanchez, ia juga dijangka akan memberi komplikasi kepada rundingan kontrak baharu Kevin De Bruyne.
Pemain tengah antarabangsa Belgium berkenaan dilaporkan semakin hampir untuk selesai berunding dengan City dengan kontrak baharu sekitar £220,000 seminggu.
Guardiola berkata kelab ini mempunyai lebih banyak keutamaan serta kepentingan daripada mana-mana potensi perpindahan masuk, walaupun secara peribadi beliau sendiri mahu kembali bekerja dengan Sanchez di Etihad setelah apa yang kedua-duanya capai di Nou Camp sebelum ini.
“Ketika saya masih di Barcelona, Bayern Munich, dan kini di Manchester City, saya tidak pernah memberi tekanan atau mendesak kelab untuk mendapatkan pemain-pemain yang saya mahu, jika mereka memikirkan kosnya adalah melampau.”
“Saya menghormati keputusan sedemikian, dan saya terus bekerja untuk mencari penyelesaian lain kerana saya sedar stabiliti di dalam kelab tersebut adalah lebih penting.”
“Kebiasaannya ia melibatkan stabiliti dari segi jumlah gaji yang perlu kelab bayar kepada pemain. Ia adalah aspek penting untuk stabiliti di dalam pasukan dan juga kewangan kelab.”
Walaupun tidak meneruskan usaha untuk mendapatkan Sanchez, Guardiola berpendapat keputusan tersebut tidak akan merosakkan hubungan di antara beliau dan Sanchez yang bermula ketika kedua-dua jurulatih dan pemain bersama Barcelona.
“Pendapat dan pandangan saya terhadap Sanchez sentiasa asama. Ia adalah satu perkara yang baik ketika kami bersama-sama di Barcelona. Hari ini beliau memilih untuk menyertai kelab lain, dan saya mengucapkan selamat maju jaya.”
“Perkara sebegini bukanlah pertama kali berlaku sepanjang karier saya di dalam bola sepak. Saya mahukan pemain yang spesifik, namun mereka memilih untuk menyertai pasukan lain. Malah ia akan berlaku lagi pada masa hadapan,” jelas Guardiola.
Walaupun gagal mendapatkan Sanchez, dan Gabriel Jesus dilanda kecederaan, Guardiola mengesahkan beliau tidak akan membawa masuk mana-mana penyerang ke Etihad pada Januari ini.