Kemenangan 5-1 Manchester City ke atas Leicester menambah jurang di puncak Liga Perdana Inggeris kepada 16 mata, memberikan kesukaran kepada pencabar terdekat untuk terus menghimpit pendahulu liga.
Bos City, Pep Guardiola mengakui ia merupakan posisi bagus sekarang kerana dia tahu yang pasukannya tidak boleh berhenti berjuang meskipun mendahului liga dengan selesa.
“Saya tak boleh nafikan jarak kami dengan pasukan seterusnya,” ujar Pep. “Hari ini 16, esok boleh jadi kembali kepada 13. Masih banyak perlawanan perlu dimainkan tapi saya tidak tahu apa akan berlaku.
“Ya, meraih 72 mata pada bulan Februari, cukup banyak. Tapi saya lebih suka untuk menjawab soalan tersebut selepas 38 perlawanan! Kami mempunyai ramai pemain cedera dan di perlawanan-perlawanan seterusnya jika mereka kembali, ia cukup bagus.
“Namun setakat ini, segalanya amat baik. Kami menikmati apa yang telah kami lakukan, tapi kami perlu julang piala-piala.”
Guardiola mengakui jika pasukannya terus bermain dengan cara yang dilakukan mereka, ia sukar untuk memberhentikan Citizens menjulang piala Liga Perdana Inggeris di akhir musim nanti.
Tujuh kemenangan diperlukan dari 11 perlawanan terakhir akan menjamin City mengakhiri saingan Liga Perdana lebih awal.
“Jika kami boleh mengekalkan semangat ini untuk baki musim ini, buat pasukan-pasukan lain ia akan menjadi sukar.
“Hari ini, pada separuh masa pertama ia tidak sempurna. Leicester amat rumit. Terutama Vardy, yang begitu berbahaya.
“Menentang Burnley kami telah terlepas banyak peluang tapi hari ini kami memanfaatkannya. Kami kuat di laman sendiri. Kami merasa selesa di sini, di kediaman kami.”
Sudah tentu, Pep turut memberi pujian khas buat penjaring empat gol, Sergio Aguero dengan menambah: “Apabila seorang pemain menghasilkan empat gol, dia berhak atas segala pujian.
“Dia telah bertarung sehabisnya, dia telah bermain dengan bersungguh, dan menjaringkan gol-gol.”