P. Maniam Mahu Perbaiki 2 Kelemahan Ini Selepas Kekalahan 1-4 Selangor Kepada Terengganu

Selepas kalah 1-4 kepada Terengganu FC yang cemerlang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam Sabtu lepas, Selangor FA kembali ke dunia realiti. 2 kemenangan yang dicipta mereka pada 2 perlawanan pertama unifi Liga Super 2018 (2-0 vs Kuala Lumpur, 4-1 vs Melaka United) melonjakkan keyakinan penyokong Selangor musim ini.

Tetapi banyak sebenarnya yang perlu diperbaiki oleh Selangor jika mahu menawan trofi unifi Liga Super. Hakikat ini turut diakui oleh ketua jurulatih Selangor, P. Maniam.

Bercakap kepada Semuanya BOLA dalam majlis pra-pelancaran lagu rasmi Selangor di The Curve, Mutiara Damansara semalam, Maniam mengenalpasti 3 kelemahan ketara pasukannya selepas dimalukan Terengganu yang mahu diperbaikinya sebelum melayan kunjungan Pahang pada 24 Febuari nanti.

1. Kekurangan pengalaman pemain muda

“Ketika menentang Melaka [United], pemain-pemain muda kita beraksi dengan cemerlang. Tetapi menentang Terengganu di hadapan hampir ribuan penyokong mereka sendiri, pemain-pemain muda kita banyak melakukan kesilapan kerana kekurangan pengalaman,” kata Maniam.

“Saya mahu melihat bagaimana pemain-pemain muda kita ini bangkit dan memberi respons daripada kesilapan ini. Itulah sebabnya kita memberikan peluang bermain kepada mereka. Supaya mereka menjadi pemain yang lebih bagus.”

Maniam turut memberi komen beliau terhadap pemain-pemain muda berbangsa India beliau yang mendapat ejekan perkauman oleh sebahagian kecil penyokong Terengganu – sehingga menyebabkan D. Kugan hilang fokus pada separuh masa pertama.

“Perkara ini kadang-kadang akan berlaku. Ia memberi pengalaman berguna kepada pemain-pemain muda kita. Mereka tak pernah bermain di depan penyokong sebegitu. Jadi saya harapkan mereka menggunakan pengalaman ini untuk menguatkan mental mereka pada masa akan datang.”

2. Kurang agresif di zon defending third dan attacking third

Mengulas kelemahan ini, Maniam memberitahu pemain-pemainnya terlalu menghormati Terengganu di 2 kawasan yang beliau mahukan lebih keagresifan – defending third dan attacking third.

“Kita boleh nampak Terengganu banyak memenangi bola kedua (second balls) di dua kawasan ini melalui tekanan (pressing) yang dilakukan mereka.”

Pemain tengah Terengganu FC, Lee Tuck memberi tekanan kepada penyerang Selangor, Ilham Udin Armyn ketika aksi unifi Liga Super 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. (Kredit: FA Selangor)

Maniam melihat tempoh 12 hari yang dimiliki beliau sebelum bertemu Pahang di Stadium KLFA, Cheras sebagai peluang untuk memperbaiki aspek ini. “Kelemahan ini akan saya beri penekanan dalam tempoh lebih kurang 2 minggu nanti,” tambah pengurus berusia 49 tahun ini.

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) meneruskan usaha penjenamaan semula pasukan Selangor dengan menerbitkan lagu rasmi baru yang bakal digubah oleh artis, Monoloque. Menurut Monoloque, lagu tersebut bakal siap dalam masa sebulan.

Monoloque (kiri) diberi mandat oleh FAS untuk menggubah lagu rasmi baru Selangor FA. Kredit: (Faiez Tajudin / Dunia Sukan)

“Saya sedang mengkaji beberapa lagu semangat yang dicadangkan oleh kumpulan penyokong Selangor kepada saya untuk dijadikan inspirasi. Insyaallah dalam masa sebulan, lagu tersebut akan siap,” kata Monoloque yang juga merupakan bekas gitaris kugiran Butterfingers.

Presiden FAS, Datuk Subahan Kamal pula menjelaskan penggubahan lagu rasmi baru Selangor ini adalah salah satu FAS untuk memberi identiti segar kepada pasukan. “Kita mahu lagu ini melambangkan elemen ‘semangat’ dan boleh digunakan oleh mana-mana atlet sukan di Selangor,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN