Tchetche Kipre yang kini ditandatangani oleh Terengganu sebagai salah satu kuota import musim depan dianggap tidak hanya sekadar pelengkap pasukan oleh jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain.
Tekan beliau, dengan kehadiran Kipre itu sebenarnya mampu untuk memperkuatkan lagi jentera serangan Terengganu dengan segala pengalaman yang ada pada pemain import tersebut.
Malah pengendali yang berasal dari Kelantan itu turut percaya dengan bisa yang ada pada pemain berusia 35 tahun tersebut selain masih lagi digeruni pertahanan lawan biarpun semakin berusia selain Nafuzi sendiri menganggap Kipre sebagai salah satu penyerang terbaik beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M)
“Saya gembira dengan kembalinya penyerang, Tchetche bersama pasukan TFC musim ini selepas dua musim bersama pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
“Secara peribadi saya lihat pemain itu masih lagi penyerang berbisa dalam saingan Liga M walaupun kita tahu dia semakin berusia.
“Jika kita analisis dengan umurnya dia sebelum ini pun, penyudahnya lebih baik berbanding penyerang lebih muda daripadanya, lagipun kami sudah saling memahami corak permainan dan taktikal yang diterapkan, jadi ini sudah pasti memberi kelebihan dan memudahkan kami.
“Lebih-lebih lagi pemain itu sendiri sudi untuk kembali bersama pasukan TFC, jadi kami harapkan dia mampu memikul tugas di depan gol dengan lebih baik bagi memastikan misi pihak pengurusan musim ini tercapai,” katanya menerusi Berita Harian.
Pada pertengahan musim 2017 sehingga 2019, awal kemasukan Kipre dalam kem Terengganu telah menyaksikan pemain tersebut berjaya meledak 29 jaringan sepanjang penampilan bersama skuad tersebut.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Kipre juga dijangka bakal beraksi bersama pasangan beliau sewaktu di Kedah iaitu Kpah Sherman yang pernah mencipta kombinasi serangan yang digeruni sewaktu bawah kendalian Aidil Sharin.
Sewaktu menyarung jersi Kedah, penyerang berbisa ini telah menghasilkan 17 gol secara keseluruhan dan beraksi untuk 32 perlawanan sejak menandatangani kontrak bersama pasukan berpangkalan di utara tersebut pada 2020.
Terengganu kini sudah pun melengkapkan barisan pemain import mereka dengan menyenaraikan tiga pemain serangan berbisa iaitu Tchetche Kipre, Kpah Sherman, dan Jordan Mintah.
Pasukan ini juga menandatangani bekas pemain tengah Melaka United, Manny Ott untuk bergandingan bersama Habib Haroon selaku pemain import di bahagian tengah.
Barisan pertahanan menyaksikan skuad ini menyenaraikan tiga import iaitu Luke Woodland, Pape Diakite, dan Argzim Redzovic bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang bakal berlangsung tidak lama lagi.