Mutu permainan Terengganu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) kini mula menjadi pertikaian hangat segelintir penyokong setia Sang Penyu yang jelas kurang berpuas hati sejak kebelakangan ini.
Terengganu yang dikendalikan oleh Tomislav Steinbruckner musim ini tampil dengan sangat perlahan sejak awal perlawanan, selain tidak konsisten menerusi prestasi dipamerkan kepada para penyokong.
🏴🏳️ KEPUTUSAN PENUH PERLAWANANAN 🏴🏳️
FT [ @officialpdrmfc 0-0 @FCTerengganu ]#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/4giR2fkUzZ
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) July 16, 2023
Menerusi rombakan yang dibuat, beberapa pemain baharu yang menyertai pasukan tersebut gagal mempamerkan kualiti permainan lebih baik berbanding musim lalu serta tidak begitu banyak peningkatan dibuat.
Kemuncaknya, Terengganu sekadar terikat seri tanpa jaringan pada perlawanan terbaharu Liga Super ketika mereka menentang PDRM di Petaling Jaya bersama aksi cukup mengecewakan.
Justeru, Kelab Penyokong Bolasepak TFC menggesa supaya bedah siasat kini dapat dibuat dengan segera serta membabitkan kejurulatihan dan para pemain untuk mengatasi kelemahan pasukan.
Selain itu, persatuan tersebut juga menasihatkan supaya pengurusan Terengganu turut menandatangani khidmat import lebih berkualiti pada jendela perpindahan kedua kini untuk mengukuhkan pasukan.
Kata Mohd Isa Che Arifin selaku presiden kelab penyokong tersebut, beliau menyatakan kini para penyokong Terengganu sudah pun bosan dengan persembahan ditampilkan oleh Sang Penyu bawah kendalian Steinbruckner.
Malah, beliau juga menyifatkan kualiti permainan ditampilkan oleh jurulatih itu juga tidak begitu meningkat sejak awal musim saingan liga bermula.
Tambahan pula untuk menghadapi saingan Piala AFC tidak lama lagi, Mohd Isa juga berharap masalah di posisi serangan yang tumpul turut dapat diatasi segera.
Ketumpulan barisan serangan Terengganu jelas terbukti ketika aksi lalu mereka menentang PDRM, selepas pasukan tersebut mensia-siakan begitu banyak peluang terhidang untuk mendapatkan gol.
“Jika dilihat perlawanan menentang PDRM FC, banyak kekurangan perlu diperbaiki terutama jentera serangan, kita tiada penyerang yang boleh menghasilkan gol walaupun peluang terhidang di depan mata.
“Malah semangat berpasukan juga dilihat semakin kurang, buktinya banyak peluang dipersiakan kerana kepentingan individu melebihi aksi berpasukan.
“Kami penyokong berharap pihak pengurusan dan kejurulatihan dapat melakukan sesuatu lebih baik lagi untuk perlawanan seterusnya sebelum penyokong menaikkan kain rentang kerana terlalu marah dengan prestasi pasukan tahun ini.
“Kami juga berharap pemain import yang tidak berkualiti terutama jentera serangan dapat digantikan dengan pemain baharu yang benar-benar mempunyai kualiti sebagai penyerang dan bukannya sekadar pelengkap pasukan,” katanya menerusi Harian Metro.
Warming Up Time 💪
*
*#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/yH88IwyXAr— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) July 16, 2023
Walaupun sudah mendapatkan sentuhan baharu pemain import di posisi tengah serangan iaitu Nurillo Tukhtasinov, pasukan tersebut masih lagi gagal untuk menemui ketajaman lebih baik di hadapan gawang gol.