Bagi mengelakkan pasukan Kelantan terus ditimpa pelbagai masalah dan kontroversi sehingga menjejaskan nama baik pasukan itu, beberapa kelab penyokong desak Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) iaitu Bibi Ramjani Illias Khan meletakkan jawatan dengan segera.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors KLIA Rozaki Abd. Kadir berkata, KAFA memerlukan Presiden baharu bagi memulihkan maruah pasukan itu selepas merakam kekalahan terburuk 2-5 kepada Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
“Sebagai peminat, kami sudah muak dan loya dengan kontroversi yang terlalu banyak membelenggu sehingga memberi imej buruk kepada badan induk itu.
“Sejak beliau memegang tampuk kepimpinan, KAFA dipalit dengan pelbagai masalah bermula dengan isu kegagalan membawa masuk tiga syarikat multinasional, ambil dan gugur pemain secara besar-besaran, isu jurulatih (Fajr Ibrahim) dan banyak lagi,” katanya.
Timbalan Presiden The Red Warriors City Club (TRWCC), Rumaizi Ismail turut mahu semua pihak yang mempunyai kaitan dengan KAFA perlu bersatu-padu untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu persatuan tersebut termasuk Exco.
Katanya, Exco sepatutnya memainkan peranan dengan mencari jalan untuk membantu memulihkan semula pasukan.
“Sebagai penyokong kami amat berharap agar tiada campur tangan daripada individu yang tidak mempunyai hubung kait dengan KAFA.
“Ini kerana ia hanya akan memberi impak lebih buruk kepada pasukan dan perkara itu telah terbukti sekarang,” ujarnya.
Baca dan nilai sendiri, setakat ini je lah pengurusan anak beranak Kafa. Dah salah tunding jari dekat pihak lain. Kali ini, Fifa pun katanya komplot nak jatuhkan Kelantan 🤣#BibiOut #RevoltKafa #SelamatkanBolasepakKelantan pic.twitter.com/PAZMrT7gOc
— 𝔹𝕖𝕣𝕚𝕥𝕒 𝔹𝕠𝕝𝕒 𝕂𝕖𝕝𝕒𝕟𝕥𝕒𝕟 (@TwtBolaKelate) April 24, 2019
Beberapa hari lepas, Malaysia Football League (MFL) menjatuhkan hukuman sekatan perpindahan pemain baharu terhadap pasukan Kelantan bagi menghadapi baki saingan Liga Premier musim ini.
Malah, MFL turut mengumumkan tujuh pasukan Liga Malaysia termasuk Kelantan dikenakan tindakan pemotongan 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 susulan kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember lalu.
Selain Kelantan, pasukan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.