Penyerang Tempatan Perlu Terus Berjuang Demi Survival Karier

penyerang

Baru-baru ini, bekas penyerang skuad kebangsaan dan Kelantan, Hashim Mustapha telah menegur sikap sebilangan penyerang tempatan yang baginya malas untuk membuat kerja tambahan.

Dipetik berkata kepada Utusan Malaysia, Hashim menjelas situasi tersebut telah mengakibatkan penyerang tempatan kian hilang kualiti dan semakin menghilang di dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Tambahan pula kebanyakkan pasukan mengambil dua pemain import untuk beraksi di posisi serangan sekaligus memberikan masalah kepada penggempur tempatan untuk bersaing.

“Mahu atau tidak, mereka perlu membuat kerja tambahan jika mahu merebut tempat dalam pasukan negeri mahupun kebangsaan,” ujar lagenda bola sepak Kelantan itu lagi.

Adakah kehadiran pemain import telah memberi kesan negatif kepada peledak tempatan? Adakah khidmat mereka benar-benar membantu melonjak prestasi setiap pasukan di Liga M?

Ini bukan kisah baharu. Saban tahun kita akan mendengar keluhan mengenai ketandusan peledak tempatan. Dan saban tahun jugalah mereka disalahkan kerana gagal menyaingi penyerang import.

Penggempur import pilihan utama

Walaupun kehadiran mereka kembali memeriahkan arena bola sepak tempatan, namun harus diakui, tindakan hampir semua pasukan lebih mengutamakan penyerang import menjejaskan peluang anak tempatan untuk mengasah bakat dan sentuhan.

Kesudahannya, peledak tempatan kian tumpul seterusnya gagal memberikan persembahan yang sepatutnya apabila diturunkan ataupun ketika khidmatnya ditagih oleh skuad kebangsaan.

Sesetengah awang import pula dilihat setaraf dengan pemain tempatan, namun kecenderungan pasukan ataupun kelab yang tetap mendahulukan mereka telah menyisihkan bakat tempatan.

NAY PYI TAW, BURMA – DECEMBER 19: Mohd Saad #3 and Thamil Arasu #9 of Malaysia competes with Fandi Eko of Indonesia during the Men’s Semi Final Match between Malaysia and Indonesia during the 2013 SEA Games at Zeyar Thiri Stadium on December 19, 2013 in Nay Pyi Taw, Burma. (Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Kita dapat lihat sebilangan bintang tempatan di posisi serangan yang menyerlah di awal karier kemudian hilang daripada radar dan dikaburi kecemerlangan serta tumpuan terhadap peledak import.

Antara yang boleh kita ketengahkan di sini adalah seperti Shakir Ali, Thamil Arasu dan pemenang Anugerah Penyerang Terbaik, Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2016, Ahmad Hazwan Bakri.

Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee pernah bersuara sekitar tahun 2014 mengenai kewajaran setiap pasukan memberikan peluang sama rata kepada pemain tempatan.

Peledak tempatan kian selesa di bangku simpanan

Mungkinkah persepsi yang penyerang tempatan hanya selesa memanaskan bangku simpanan dan menyerahkan tanggungjawab menjaringkan gol kepada penyerang import adalah benar?

Dengan kecenderungan pasukan mengutamakan pemain import, pemain-pemain tempatan dilihat sudah menyesuaikan diri dengan persekitaran di tepi padang, tanpa perlu penat memerah keringat.

Sesi latihan juga mungkin sekadar pelengkap, malah tiada usaha untuk menajamkan teknik ataupun skil. Ini yang akan membawa kepada kepupusan penyerang sejati untuk skuad negara.

Kenyataan Hashim tadi adalah dari kaca mata seorang jurulatih yang hampir setiap masanya dihabiskan bersama pemain-pemain. Bak kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam.

KUALA LUMPUR, MALAYSIA – JULY 21: Joshua Mark Mceschran of Chelsea battles with Mohd Norfarhan of Malaysia during the match between Chelsea and Malaysia XI on July 21, 2013 at the Shah Alam Stadium in Shah Alam in Kuala Lumpur, Malaysia. (Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Sekitar 2015 yang lalu, pemenang Anugerah Penyerang Terbaik, Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2013 dan 2014, Norfarhan Muhammad pernah berkongsi pendapat mengenai isu ini.

Baginya yang bercakap kepada Berita Harian, tindakan sesetengah pasukan yang cenderung menurunkan dua penyerang import sekaligus telah menyebabkan bakat tempatan kian tersisih.

Dia sendiri mengakui sentiasa bekerja keras agar terpilih untuk berada dalam kesebelasan utama namun, pilihan akhir terletak kepada ketua jurulatih dalam menentukan kesebelasan utama.

Memperjudikan karier kebangsaan

Ini juga mungkin salah satu faktor yang perlu difikirkan bersama. Penyerang muda yang sedang meningkat naik gagal memilih pasukan yang mampu melonjakkan kualiti dan skil permainannya.

Memilih untuk berhijrah ke pasukan besar yang memiliki ramai pesaing di posisi yang sama mengganggu perkembangan bakat penyerang tersebut, yang jelas tempatnya di bangku simpanan.

Kita ambil contoh situasi Akhyar Rashid yang sedang hangat diperkatakan. Kemasukkannya ke Johor Darul Ta’zim adalah bagus kerana fasiliti dan konsep 50 langkah ke depan yang dimiliki kelab tersebut. JDT adalah kelab idaman semua pemain di Malaysia.

Namun, sedarkah Akhyar, dengan lambakan penyerang yang berkualiti bukan sahaja positif dari segi saingan malah secara perlahan-lahan akan memperjudikan karier antarabangsanya?

KUALA LUMPUR, MALAYSIA – DECEMBER 11: Akhyar Abdul Rashid of Malaysia holds off Que Ngoc Hai of Vietnam during the AFF Suzuki Cup final first leg match between Malaysia and Vietnam at Bukit Jalil National Stadium on December 11, 2018 in Kuala Lumpur, Malaysia. (Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Masuk selaku pemain sokongan dan jika tiada sistem penggiliran pemain, mereka akan terpinggir dan seterusnya hilang dari radar. Sedangkan jika kekal di pasukan lama, merekalah pemain utama.

Tetapi harus difikirkan juga, di Kedah sendiri, ‘Messi Kedah’ itu tetap terpinggir dek kerana keutamaan diberikan kepada pemain import. Apa lagi pilihan yang ada di tangannya selain berhijrah?

Di sini bukanlah salah kelab yang menawarkan kerana mereka akan memburu pemain terbaik untuk membarisi pasukan. Pilihan ada di tangan pemain samaada mahu terus kekal. Pilihlah dengan bijak.

Penutup

Isu ini sentiasa dibahaskan saban tahun. Ketandusan bakat penyerang berkualiti sememangnya menjejaskan skuad negara sebagaimana yang telah kita saksikan sebelum-sebelum ini.

Peledak tempatan perlu istiqamah dalam berjuang untuk kekal bersaing dan beraksi bersama pasukan masing-masing. Adakah komen lagenda bola sepak negara itu wajar dijadikan panduan?

Ini pula adalah kenyataan Hashim kepada Kosmo sekitar dua tahun lalu, “Mengapa sekarang mahu menyalahkan kehadiran pemain import? Memang pemain-pemain tempatan tidak dapat peluang tetapi saya fikir apabila dapat peluang sekali pun tak ke mana.”

Apa pula pendapat para pembaca? Adakah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mencari solusi atau pemain tempatan sendiri yang wajar berjuang demi survival mereka sendiri?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN