Quantcast

BERITA

Baddrol Bakhtiar Mahu Rakan Sepasukan Fokus Untuk Cipta Kejayaan Musim 2019 Buat Para Penyokong

Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar mahu rakan sepasukannya menikmati suasana baru dalam kem skuad ‘Lang Merah’ dan menggesa semua pemain untuk memberikan fokus dalam usaha mencipta kejayaan pada musim 2019.

Bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2019, Kedah sebelum ini telah mengumumkan kehadiran ketua jurulatih daripada Singapura, Aidil Sharin Sahak bagi mengemudi pasukan dari utara itu.

Menurut sumber Harian Metro, Baddrol jelas teruja dengan barisan kejurulatihan yang dimiliki serta begitu bersemangat untuk menghadapi musim baharu.

“Saya dan rakan sepasukan bersemangat sekali pada musim ini sejak melihat kesungguhan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), kehadiran jurulatih-jurulatih ternama yang diketuai Aidil Sharin Sahak dan juga yang penting adalah sokongan hebat daripada semua penyokong setia Lang Merah.”

“Kita mahu cipta sejarah yang baharu bersama pasukan serba baharu dan dibimbing oleh jurulatih baharu pada musim ini.”

“Suasana ini membuatkan saya dan rakan seperjuangan melihat semua sudut dengan positif. Situasi yang lepas biar berlalu dan sudah menjadi sejarah.”

“Itu yang menyebabkan saya serta rakan sepasukan bersemangat semasa latihan untuk mengharungi musim ini dan apa yang penting sekarang kita fokus sepenuhnya untuk kejayaan musim 2019 untuk semua penyokong Kedah,” ujar Baddrol yang bercakap di sidang media sempena kejuaraan Unity Shield.

Ke arah skuad yang berwajah baru, pihak Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) turut melepaskan kesemua pemain import pada musim lalu yang terdiri daripada Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva Mendonca, Alvaro Da Silva, Andik Vermansyah dan Paolo Rangel.

Kelima-lima pemain tersebut telah digantikan dengan pemain import baharu yang sudah pun dilengkapkan oleh KFA iaitu Renan Da Silva Alves (Brazil), Muhammad Shakir Hamzah (Singapura), Anmar Fares Abdul Jabar Almubaraki (Iraq), Fernando Rodriguez Ortega (Sepanyol) dan Jonathan Jesus Bauman dari Argentina.

Zaquan Adha Abd Radzak, Azmeer Yusof, Azamuddin Akil dan N.Thanabalan antara pemain tempatan yang menyertai Kedah pada musim ini.

Sementara itu, Kedah bakal menanti kunjungan Perak bagi perlawanan Unity Shield yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada jam 9.00 malam esok.

Foto: Kedah FA

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!