Penjelasan Terperinci Fabrizio Romano Tentang Situasi Cristiano Ronaldo

Fabrizio Romano telah menjelaskan secara terperinci tentang situasi Cristiano Ronaldo di Old Trafford pada ketika ini.

Cristiano Ronaldo mengejutkan peminat bola sepak seluruh dunia pada hari ini selepas beliau mendedahkan hasratnya mahu meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Legenda Portugal itu meminta pihak kelab supaya melepaskannya seandainya ada tawaran yang beliau rasakan sesuai dari mana-mana kelab dalam masa terdekat ini.

Cristiano Ronaldo kembali ke Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas lalu dari Juventus dan selepas baru hanya satu musim bersama Red Devils, beliau kini sudah mula mahu mencari jalan keluar.

Berita tersebut sebenarnya sedikit mengganggu perancangan Erik ten Hag yang sedang membuat persiapan menjelang bermulanya musim baharu nanti.

Pada awalnya ramai peminat masih tidak percaya dengan berita tersebut, namun selepas melihat Fabrizio Romano yang tampil melaporkan tentang hal itu, maka ramai peminat yang mula yakin kebenaran berita tersebut.

Wartawan dari Itali itu mendedahkan yang Cristiano Ronaldo sememangnya mahu meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini andai ada kelab yang tampil menyatakan minat mereka untuk mendapatkan khidmatnya.

Fabrizio Romano menjelaskan secara terperinci tentang situasi Ronaldo

Menerusi satu video yang dimuat naik di laman YouTube miliknya, Fabrizio Romano telah bercakap tentang situasi terkini bintang Portugal itu.

Romano mendakwa yang beliau telah mendapatkan maklumat tentang situasi terkini Cristiano Ronaldo dari sumber-sumber terdekat pemain tersebut sendiri.

“Realitinya Cristiano Ronaldo memang mahu meninggalkan Manchester United.”

Jelas Fabrizio Romano dalam video yang berdurasi tujuh minit itu.

“Jorge Mendes telah menjelaskan segalanya, mereka mahu mencuba dan mencari jalan penyelesaian pada musim panas ini.”

Cristiano Ronaldo turut merasa kecewa melihat bagaimana kelab menguruskan jendela perpindahan pemain pada musim panas ini, dengan skuad The Red Devils itu masih belum melengkapkan walau satu pun pembelian mega setakat ini.

Melihat kelab tak henti-henti dikaitkan dengan urusan perpindahan melibatkan Frenkie de Jong, dan langsung tidak berusaha mencari pemain berprofil tinggi yang lain, Ronaldo merasakan yang Man United tidak memiliki cita-cita tinggi.

“Dia benar-benar kecewa melihat situasi Manchester United secara umumnya pada ketika ini, terutama dalam pasaran pemain.”

Jelas Fabrizio Romano.

“Saya diberitahu yang Cristiano menghargai Erik ten Hag, dia yakin yang Ten Hag seorang pengurus yang hebat, individu yang tepat untuk memulakan semula projek.”

“Tapi ia tak boleh bergantung kepada pengurus sahaja, ia perlu datang dari kelab sendiri, pimpinan dan pemilik. Perlu lebih aktif dalam pasaran pemain. Mereka perlu membeli pemain.”

Romano kemudiannya turut menambah lagi bahawa:

“Saya suka pengurus itu, saya suka kelab, tapi saya tak rasa mereka ada cita-cita. Itulah mesej dari Cristiano.”

Dalam video sama juga, Romano turut mendakwa yang bintang Portugal itu merasakan yang Manchester United sepatutnya membeli sekurang-kurangnya tujuh pemain berprofil tinggi pada musim panas ini.

Pakar perpindahan pemain itu juga turut menjelaskan yang ejen Ronaldo, Mendes pada ketika ini sedang berunding dengan beberapa kelab lain untuk berbincang berkait masa hadapan bintang Portugal itu.

“Dia ada berbincang dengan director of football Bayern Munich, Hasan Salihamidzic, tapi Bayern Munich secara terbuka telah mendedahkan yang mereka langsung tak berhasrat mahu mendapatkan Ronaldo.”

Fabrizio Romano turut menegaskan yang beliau masih tidak pasti sama ada Mendes ada berunding atau tidak dengan mana-mana kelab dari Itali.

Bercakap tentang berita Ronaldo dikaitkan dengan Chelsea, Fabrizio Romano mendedahkan yang hal itu mungkin tidak akan berlaku.

“Memang betul Mendes ada perbincangan dengan (pemilik Chelsea) Todd Boehly untuk berbincang tentang Cristiano tapi harus diingat yang Chelsea hanya akan menandatangani pemain yang dimahukan oleh Thomas Tuchel sahaja.”

“Todd Boehly akan berikan segala kuasa kepada Thomas Tuchel. Pada ketika ini Chelsea sangat sibuk dengan ramai pemain lain dan bukannya Cristiano.”

Fabrizio Romano kemudiannya turut menyatakan yang Ronaldo juga mungkin tidak akan menyertai Paris Saint Germain pada musim panas ini.

“Paris Saint Germain tidak akan menandatangani Cristiano. Setakat hari ini, itulah kedudukan mereka. Tapi seperti kita tahu dalam pasaran pemain segalanya boleh berlaku.”

Manchester United juga turut dilaporkan yang mereka tidak mungkin akan menjual Cristiano Ronaldo pada jendela perpindahan musim panas ini.

Romano menjelaskan yang ketua pasukan Portugal itu masih belum menerima apa-apa tawaran dari kelab lain dan mungkin beliau akan kekal di Old Trafford.

“Cristiano tiada perjanjian dengan mana-mana kelab setakat hari ini.”

Tambah Fabrizio Romano lagi.

“Jadi bukanlah Cristiano Ronaldo mahu melawan Manchester kerana dia ada sebab, dia mahu tunggu tawaran dan mahu pergi. Dia mahu beri pesanan kepada Man Utd supaya lebih bercita-cita dan dia memang akan pergi kalau dapat tawaran yang tepat.”

“Tapi pada ketika ini, memang dia belum ada apa-apa perjanjian dengan mana-mana kelab.”

Masih tidak pasti apa yang akan berlaku selepas ini, namun satu hal yang pasti, ketika artikel ini ditulis, Cristiano Ronaldo masih lagi pemain Manchester United dan masih belum ada kelab yang tampil berunding untuk mendapatkan khidmatnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN