Kelab Tak Bercita-Cita Tinggi Punca Cristiano Ronaldo Mahu Tinggalkan Manchester United

Dunia bola sepak hari ini dikejutkan dengan berita yang Cristiano Ronaldo berhasrat mahu meninggalkan Manchester United pada jendela perpindahan musim panas ini.

Cristiano Ronaldo dilaporkan sangat kecewa melihat bagaimana kelab menguruskan jendela perpindahan musim panas ini.

Tidak beraksi di pentas saingan Champions League juga dikatakan antara punca mengapa Ronaldo benar-benar bertekad mahu meninggalkan kelab.

Menurut sumber laporan dari pelbagai pihak termasuk Fabrizio Romano dan David Ornstein, Cristiano Ronaldo telah mendedahkan hasratnya mahu meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Ejen Ronaldo, Jorge Mendes pada ketika ini dilaporkan sedang sibuk mencari kelab baru yang berminat mahu mendapatkan khidmat pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or.

Cristiano Ronaldo pada ketika ini dilaporkan bersedia untuk meninggalkan kelab andai ada tawaran tepat dari mana-mana kelab pada jendela perpindahan musim panas ini.

Bintang terhebat sepanjang zaman Portugal itu dikatakan menganggap Manchester United tidak bercita-cita tinggi dan kerana itulah beliau tidak mahu meneruskan kariernya di Old Trafford.

Ronaldo dikatakan turut pernah mendedahkan yang Man United sepatutnya melakukan lima pembelian mega pada musim panas ini andai mereka mahu bersaing dalam memenangi piala.

Menurut laporan dari Fabrizio Romano juga, Ronaldo sama sekali tiada masalah dengan pengurus baharu kelab, Erik ten Hag, namun beliau sangat bermasalah dengan pimpinan kelab.

Bekas bintang Real Madrid dan Juventus itu menegaskan yang semangat dan keyakinan Ten Hag seorang sahaja tidak cukup untuk menaikkan Man Utd semula.

Pimpinan kelab dan pemilik kelab sepatutnya memainkan peranan yang lagi penting dengan membantu Ten Hag mendapatkan pemain yang beliau mahu.

Ronaldo berharap agar pimpinan kelab menunjukkan yang mereka juga turut bersemangat untuk menaikkan kelab dan tidak sekadar meletakkan harapan sahaja kepada Ten Hag.

Cristiano Ronaldo walau bagaimanapun tidak ada masalah dengan kelab dan beliau juga tiada masalah untuk terus kekal bersama kelab.

Walau bagaimanapun, beliau sudah menjelaskan secara terbuka yang beliau sememangnya akan pergi meninggalkan Old Trafford andai ada tawaran menarik dari pasukan lain.

Ketika artikel ini ditulis, Cristiano Ronaldo masih lagi pemain Manchester United dan beliau juga masih belum mengadakan rundingan bersama mana-mana kelab.

Beliau sebelum ini hangat dikaitkan dengan bakal menyertai Bayern Munich untuk menjadi pengganti kepada Robert Lewandowski.

Walau bagaimanapun, Bayern Munich turut telah menegaskan yang mereka sememangnya tiada perancangan untuk mendapatkan Ronaldo pada jendela perpindahan musim panas ini.

Leave a Reply