Penjaga gol utama skuad kebangsaan Thailand, Kawin Thamsatchanan telah menarik minat 3 buah kelab dari liga utama Jepun untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.
Difahamkan 3 buah kelab itu ialah Vegalta Sendai, Shimizu S-Pulse dan Consadole Sapporo menurut laporan daripada media Thailand.
Kawin kini beraksi untuk pasukan Muangthong United dalam saingan Thai League 1. Kontrak beliau bersama Muangthong United akan berakhir pada bulan depan dan dikatakan mahu mencari angin baru musim depan.
Beliau juga merupakan kapten skuad kebangsaan Thailand. Prestasi konsistennya dalam beberapa perlawanan telah mengukuhkan reputasinya sebagai penjaga gol nombor 1 Thailand dan juga antara penjaga gol terbaik di Asia Tenggara.
Penjaga gol yang berusia 27 tahun itu pernah menjalani ujian pemilihan bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United pada tahun 2010 selepas disyorkan oleh bekas kapten Manchester United, Bryan Robson.
Walaubagaimanapun, beliau mengalami kecederaan bahu sehingga memaksa beliau tarik diri dan berehat selama sebulan. Kecederaan itu memadamkan impiannya untuk beraksi di England.
Kawin menyertai Muangthong United ketika berusia 18 tahun pada tahun 2008. Pada musim pertama, beliau berjaya merebut posisi penjaga gol utama dan membantu pasukan menjuarai liga divisyen 1.
Selepas Muangthong layak ke Liga Perdana Thailand pada musim 2009-2010, beliau membantu pasukannya meraih kejuaraan liga selama 2 tahun berturut-turut pada tahun 2009 dan 2010.