Jika tidak dibangkitkan, tentu tiada siapa ambil pusing tentang pertukaran pengadil ketika aksi antara Perak dan Selangor di Stadium Perak tempohari.
Pemerhati bola sepak tempatan, Juan Budiman menerusi akaun Twitternya telah membuat ciapan tentang isu pertukaran pengadil ketika Selangor cemerlang menewaskan Perak dengan keputusan 4-0 di laman lawan.
Adakah ia sah di sisi undang-undang bola sepak apabila Pegawai ke-4 menggantikan pengadil yang mengalami kecederaan ketika perlawanan?
Persoalan ini ditimbulkan oleh pemilik Twitter tersebut selepas membuat semakan terhadap dua undang-undang iaitu IFAB & Manual Liga M 2023.
“Apa prosedur pertukaran pengadil dan adakah ianya sah?” soal Budiman mengenai pertukaran Noor Azriel Baharudin kepada Mohd Azizan Saat.
Dua dokumen boleh dirujuk berkenaan prosedur pertukaran pengadil iaitu Undang² Permainan terbitan IFAB & Manual Liga M 2023 terbitan MFL. pic.twitter.com/lXLczRYBRV
— Juan Bapakaw (@juanbudiman) May 21, 2023
Perlawanan ke-11 Liga Super antara kedua-dua pasukan sememangnya sudah hangat di luar padang, sebelum aksi berlangsung, di sebelah petang. Pertembungan Perak dan Selangor boleh dikategorikan perlawanan panas.
Penyokong kedua-dua pasukan sudah bertembungan di luar stadium dan turut berlaku di dalam stadium ketika perlawanan sedang berlangsung.
Menambah kehangatan malam itu, pengadil pula terpaksa diusung keluar.
Selepas sejam aksi berlangsung, situasi luar jangkaan berlaku apabila Noor Azriel terpaksa dibawa keluar akibat kecederaan. Dan Pegawai ke-4, Azizan telah mengambil tempat sebagai pengadil sehingga ke wisel penamat.
“Menurut Undang-Undang Permainan, tidak ada sekatan pertukaran untuk pengadil. Mana-mana pembantu pengadil ataupun pegawai ke-4 boleh menjadi pengganti sekiranya pengadil tidak dapat menjalankan tugas.
“Namun begitu perkara ini perlu diperjelaskan dalam peraturan perlawanan [Manual Liga M],” tambah Budiman lanjut dalam ciapan seterusnya.
“Merujuk kepada Manual Liga M 2023 pula, jika seorang pengadil perlawanan tidak dapat meneruskan tugas di atas padang maka secara automatiknya Penolong Pengadil 1 [penjaga garisan 1] akan ambil alih tugas pengadil.
“Kekeliruan berlaku apabila Penilai Pengadil [Referee Assessor] Sivanesan Muniandy telah melantik Pegawai ke-4 [4th Official] Mohd Azizan Saat untuk menggantikan pengadil Noor Azriel Baharudin. Sepatutnya Penolong Pengadil 1 iaitu Hairul Azeman Azemin yang jadi pengganti,” ulasnya lanjut.
Beliau turut merujuk kepada kes pertukaran pengadil pada musim 2019 yang mana telah melibatkan aksi Perak menentang Kedah, juga di Ipoh.
Pegawai ke-4, iaitu Abdul Halim Mohd Ramlan telah dimasukkan sebagai Pembantu Pengadil 1 selepas Mohd Shahreen Omar menggantikan posisi Hamdan Awang yang mengalami kecederaan pada perlawanan itu.
Yang menimbulkan sedikit ketidakpuasan hati bekas pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak adalah Pegawai ke-4 merupakan pengadil dari Perak.
Liga super 2019 Perak lawan Kedah, tapi yang Aide shahrin bantah ialah 4th official jadi linesman ialah orang Perak😂 Aturan pembantu pengadil 1 jadi pengadil betul. Yang tak betul 4th official orang Perak amik alih tugas pembantu pengadil 1 padahal game tu game pasukan Perak🤣 https://t.co/UdywFE7BHR pic.twitter.com/7RIqEEald3
— Džulfazli Bakar Berlauk (@DzulfazliR) May 21, 2023
Itu kes empat tahun lalu dan insiden inilah yang menjadi titik tolak kepada perubahan undang-undang iaitu Pegawai ke-4 adalah pengadil berkecuali.
Ini yang membolehkan mereka untuk masuk sebagai pengadil perlawanan jika berlaku sebarang kecemasan atau situasi di luar jangkaan ketika aksi.
Cuma yang menjadi persoalan oleh Budiman adalah, mengapa bukan Penolong Pengadil 1 yang menggantikan pengadil perlawanan itu?
Menurut sumber yang dihubungi Semuanya BOLA, kebanyakkan Penolong Pengadil 1 tidak terlatih untuk menjadi pengadil di tengah padang, tetapi Pegawai ke-4 pernah mengendalikan perlawanan sebelum-sebelum ini.
Ini kerana, Pegawai ke-4 biasanya adalah di kalangan pengadil utama – biasa mengadili perlawanan, bukan di kalangan pembantu pengadil.
Perkara ini sudah pernah dibincangkan dan menurutnya tiada sebarang isu.
Sepertimana penjelasan daripada video daripada Koppa di bawah ini, ia menggambarkan Pegawai ke-4 sebagai pengganti kepada mana-mana pengadil dan pembantu pengadil jika mereka mengalami kecederaan.
Yang menjadi masalah sebelum ini, kebanyakan Pegawai ke-4 datang dari kalangan pengadil di negeri tersebut. Seperti situasi 2019, ia menyukarkan kemasukkan Pegawai ke-4 dilakukan disebabkan akan timbul prejudis.
Jadi, bagaimana Manual Liga M 2023 menjelaskan sebaliknya? Mengapa?
Mungkin ini adalah undang-undang sebelum kes empat tahun lalu. Ini kerana, seperti dijelaskan di atas, sebelum ini, Pegawai Ke-4 kebiasaannya dari negeri tersebut kecuali untuk perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir dan final, yang akan dilantik dari kalangan pegawai berkecuali.
Jadi, sejak perubahan dilakukan selepas insiden pada 2019 itu, Pegawai ke-4 yang dari negeri berkecuali sudah boleh masuk menjadi pengadil utama.
Dan, seperti yang dijelaskan di awal tadi, pembantu pengadil selalunya tidak terlatih untuk mengadili sebarang perlawanan, tidak seperti Pegawai ke-4.
Mungkin itu penjelasan yang terbaik setakat ini mengenai isu berbangkit itu.
Mungkin penjelasan lanjut daripada Unit Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan operator Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) dapat memberikan kita lebih kefahaman mengenai perkara ini.