Pengurus TFC: Kalau Piala Malaysia Batal, Kamilah Yang Untung

Argzim Redzovic TFC PJ City Piala Malaysia 2020

Pengurus Terengganu FC (TFC), Ahmad Shahrizal Yahya berkata yang jika Piala Malaysia dibatalkan, mereka pastinya beruntung kerana akan ke saingan Piala AFC.

Setakat ini, saingan TM Piala Malaysia 2020 tertangguh akibat arahan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara. Jika ianya dibatalkan, TFC adalah pilihan terakhir sebagai wakil negara untuk ke saingan peringkat Asia mengikut kedudukan Liga Super.

Kata Shahrizal di Arena Metro, “Jika Piala Malaysia dibatalkan, kita pasti slot ke Piala AFC akan diberikan kepada TFC kerana kita berada di kedudukan ketiga Liga Super.”

“Bagaimanapun daripada segi impak kewangan yang orang ramai tidak nampak dalam industri bola sepak kita kerugian berkenaan dengan kutipan tiket perlawanan di tempat sendiri melebihi RM100,000 kerana stadium kosong manakala berbelanja hampir RM30,000 bagi perlawanan di tempat lawan,” tambahnya mengenai kerugian mereka.

Oleh itu, pihaknya berharap agar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat membuat keputusan sewajarnya mengenai status pertandingan antara yang tertua di Asia itu. Pelbagai isu terpaksa difikir oleh mereka sekiranya status Piala Malaysia tergantung.

Sebagaimana yang semua sedia maklum, majoriti kontrak pemain di Liga Malaysia adalah setahun dan akan berakhir pada 30 November depan. Jadi, sukar buat mereka sekiranya kedudukan saingan Piala Malaysia tidak diketahui sehingga hujung bulan ini.

“MFL perlu memutuskan secepat mungkin status saingan itu kerana beberapa pasukan termasuk Terengganu FC sudah merancang barisan pemain musim depan selain ia memberi peluang kepada pemain yang digugurkan mencari pasukan baharu.

“Lagipun kontrak hampir kesemua pemain termasuk tonggak import dan tempatan akan tamat pada 30 November ini. Saya tidak lihat Piala Malaysia dapat diadakan pada Disember ini,” tambahnya lagi mengenai kerisauan pihak pengurusan pasukan.

Semalam, pihak MFL mengemukakan rayuan kepada MKN untuk mempertimbangkan keputusan yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan.

Malah, MFL juga sedia maklum dan telah menjelaskan mengenai kekangan pasukan yang mana kontrak para pemain akan berakhir pada penhujung November.

KREDIT FEATURED IMAGE: TFC

Baca lagi artikel mengenai TFC dan Piala Malaysia:

MFL Sudah Kemukakan Rayuan Kepada MKN, Mahu Keputusan Penangguhan Piala Malaysia Dipertimbangkan

Azraai Khor: Gelanggang Tidak Terlibat Kawasan PKPB Pilihan Terakhir Teruskan Piala Malaysia

Piala Malaysia 2020: Terengganu FC Ke Suku Akhir Walaupun Dipalit Isu ‘Line’ Hilang

Leave a Reply