MFL Sudah Kemukakan Rayuan Kepada MKN, Mahu Keputusan Penangguhan Piala Malaysia Dipertimbangkan

Liga M

Malaysian Football League (MFL) hari ini telah mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan TM Piala Malaysia 2020.

Rayuan ini dibuat susulan permohonan untuk meneruskan aksi TM Piala Malaysia ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikemukakan oleh MFL menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditolak menerusi pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, keputusan untuk membuat rayuan kepada MKN itu diputuskan selepas mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini.

“Kami sedia maklum mengenai keputusan MKN yang mengambil kira situasi COVID-19 di negara yang menyebabkan PKPB di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

“Bagaimanapun MFL masih berharap agar pihak MKN dapat mempertimbangkan rayuan MFL untuk meneruskan saingan TM Piala Malaysia musim ini dengan perancangan khas serta SOP (Prosedur Operasi Standard) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu “quarantine based”.

“Sebagai contoh pasukan-pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bermain di sebuah negeri sehingga ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir. Pasukan-pasukan yang kalah pada perlawanan peringkat suku akhir dan separuh akhir akan meninggalkan negeri tersebut setelah tamat perlawanan.

“Keputusan untuk mengemukakan rayuan ini turut disokong oleh lapan pasukan yang layak ke suku akhir di mana mereka bersedia untuk beraksi mengikut perancangan dan SOP seperti yang ditetapkan oleh MFL dan MKN,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

MFL sebelum ini menerusi Presidennya, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin sudah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dalam mencari jalan untuk meneruskan saingan TM Piala Malaysia 2020 selepas kerajaan mengumumkan PKPB di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan pada 7 November 2020, iaitu sehari selepas pusingan pertama TM Piala Malaysia bermula.

Menurut Dato Ab Ghani, Berdasarkan permohonan pertama yang dikemukakan kepada MKN sebelum ini, MFL telah menyediakan perancangan khas untuk menyambung saingan TM Piala Malaysia bagi pusingan suku akhir, separuh akhir dan final.

“Dalam surat permohonan itu, MFL menyediakan perancangan untuk meneruskan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 di negeri-negeri berkecuali PKPB di mana MFL telah membuat permohonan untuk menggunakan venue Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk aksi suku akhir dan separuh akhir dan final.

“Kami amat berharap agar perancangan ini dapat dipertimbangkan memandangkan penangguhan saingan TM Piala Malaysia bakal memberi banyak kesan kepada industri bola sepak negara secara keseluruhan. Bagi MFL serta semua pasukan bakal terkesan terutamanya dari segi komitmen penajaan yang telah dimeterai dan ditandatangani bersama penaja-penaja untuk Liga Malaysia Musim 2020 sekiranya pertandingan TM Piala Malaysia 2020 tidak dapat diteruskan.

“Agak sukar untuk MFL menangguhkan kejohanan ini memandangkan kontrak pemain-pemain Liga Malaysia 2020 bersama pasukan-pasukan bakal berakhir pada hujung bulan ini,” katanya.

Sebagai rekod, kejohanan TM Piala Malaysia 2020 telah membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November lalu di mana lapan pasukan telah layak ke suku akhir iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur, Pulau Pinang, UiTM FC, Kedah, Perak, Terengganu FC dan Selangor.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN