Apabila Nafuzi Zain sah tidak menyambung kontrak bersama Terengganu FC (TFC), nama pengganti sudah berada di tangan pihak pengurusan.
Beliau sudah lama bersama pasukan, malah turut mempunyai rekod pernah membimbing skuad dari Terengganu iaitu T-Team sekitar tahun 2015.
Menurut laporan Bernama, pengganti Nafuzi seperti yang dimaklumkan oleh pengurusan TFC adalah Pengarah Teknikal, Tomislav Steinbruckner.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
“Semasa kita terima cadangan daripada pihak pengurusan memang Nafuzi diletakkan di kedudukan pertama untuk kita sambung kontrak beliau dan Tomislav Steinbruckner di tempat kedua.”
“Jika Nafuzi tidak terima untuk sambung kontrak, tawaran kita pergi kepada Steinbruckner. Jadi saya rasa hampir pastilah.
Wan Sukairi Wan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah TFC
3 Sebab Nafuzi Zain Perlu Kekal Sebagai Pengendali Terengganu FC
Kemelut kontrak Nafuzi bersama TFC ini berlangsung sejak hujung tahun lalu lagi dan itulah kali pertama nama Steinbruckner muncul semula.
Ketika sidang media pasca aksi separuh akhir Piala Malaysia 2021, Nafuzi dilihat seperti pasrah dengan situasi kontraknya yang bakal berakhir. “Apa pun terserah kepada pihak pengurusan tapi selagi TFC memerlukan khidmat saya tiada masalah untuk meneruskan sumbangan,” ujarnya.
“Ketika ini saya masih ada kontrak dengan TFC, tapi jika ada kelab yang sudi untuk menawarkan kontrak kepada saya, kemungkinan saya akan berunding dengan mana-mana kelab yang sudi,” tambahnya lanjut pada ketika itu.
Namun, walaupun lewat menawarkan kontrak ketika itu, Nafuzi dilihat menerimanya dan tidak lama kemudian Steinbruckner menyertai mereka.
TFC telah mengumumkan Tomislav Steinbruckner sebagai Pengarah Teknikal kelab itu bermula pada Mac 2022, sebelum musim 2022 bermula.
Banyak khabar angin berlegar di media sosial sejak Steinbruckner tiba, kelihatan seolah-olah khidmat Nafuzi semakin mula dipinggirkan.
Dr season lepas lg management taknak Nafuzi & rekemen kpd BOD coach lain. Tp atas desakan fans, BOD kekalkan Nafuzi.
Selepas 2 season tk dpt support dr management & ditekan pelbagai cara, Nafuzi sudah tidak tahan & ambil keputusan utk pergi walaupun masih sayangkan Terengganu. https://t.co/t7LyzGWv9P— Piang Shankly (@PiangShankly) November 21, 2022
Walaupun masih belum mengumumkan masa depannya, dikhabarkan Nafuzi akan berhijrah ke Kedah Darul Aman untuk saingan musim 2023.
Untuk Steinbruckner, ia pasti tugasan mencabar untuk keluar dari sejarah dan legasi yang dibina Nafuzi selama tiga musim kebelakangan ini.
Walaupun tiada sebarang kejuaraan diciptanya, namun corak permainan dan bilangan pemain-pemain muda yang diketengahkan, Nafuzi adalah jurulatih yang akan dikenang oleh para penyokong buat seketika.
Namun, jika pengendali dari Crotia itu mampu menghadiahkan sesuatu, tentunya ia akan akan membawa penyokong keluar dari memori Nafuzi.