3 Sebab Nafuzi Zain Perlu Kekal Sebagai Pengendali Terengganu FC

Nafuzi Zain Terengganu FC 2021

Hangat berlegar di media sosial, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain mungkin bakal meninggalkan pasukan untuk saingan musim hadapan apabila dilihat masih belum menandatangi sebarang kontrak sehingga kini.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan pengendali muda itu mungkin akan menjadi ‘free agent’ di laman Twitternya, semalam. Desas-desus pemergiannya telah lama tersebar iaitu sekitar September lalu selepas satu posting oleh sebuah agensi ejen bola sepak, Joe Estrada Sports Agency tentang Nafuzi Zain.

Here we come for the new challenge!!! All The best coach Nafuzi,” titip Joe Estrada di Instagram Story agensi tersebut sambil meninggalkan persoalan seolah-olah gambaran hala tuju pengendali tersebut selepas ini.

Begitupun, ia ditangkis pantas oleh pihak pengurusan Terengganu sambil memaklumkan surat tunjuk sebab yang diberikan kepada Nafuzi Zain adalah proses biasa bagi memantau perkembangan prestasi pasukan.

Dikhabarkan, kepimpinan tertinggi Terengganu gagal mencapai keputusan untuk menawarkan kontrak baharu kepadanya dalam satu mesyuarat yang diadakan pada Khamis lalu. Ini dilihat menambah spekulasi yang Nafuzi Zain akan tinggalkan pasukan selepas hampir tiga tahun mengendalikan pasukan dari Pantai Timur itu.

Tiga tahun satu tempoh yang baik

Mengambil alih daripada mentornya, Irfan Bakti di pertengahan musim 2019, Nafuzi Zain telah membawa mereka hampir tiga tahun. Sepanjang tempoh itu, Sang Penyu dilihat semakin bertambah baik dan pemain-pemain muda yang diketengahkannya semakin matang. Mungkin musim hadapan akan jadi musim terbaik?

Walaupun melalui dua musim penuh sebagai pengendali dalam usia yang muda, beliau telah berjaya membawa pasukan ke kedudukan ketiga dan ke-4 Liga Super dan mara sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia 2021.

Tanpa pemain bintang dan dibarisi pemain-pemain muda, beliau masih mampu gapai pencapaian sejauh itu.

Menurut salah satu laman penyokong Terengganu, Bolasepak Terengganu tentang isu yang tidak sepatutnya timbul itu ketika ini, “Musim 2022 sepatutnya tahun menuai hasil ke Bukit Jalil, bukan ke Bukit Bauk.”

Demi stabiliti pasukan musim 2022

Terengganu perlu terus memberi kepercayaan kepada Nafuzi Zain dengan falsafah Nafuziball yang diterapkan. Permainan mereka juga dilihat sangat baik dan menarik dengan hantaran-hantaran pendek dan pantas.

Mereka hanya perlu menambah baik pemain import mereka yang dilihat sedikit hambar seperti Makan Konate yang hanya menyerlah di awal musim lalu selain ketumpulan David da Silva yang bergelut sepanjang musim. Mungkin satu, dua pemain tempatan berpengalaman juga diperlukan bagi menambah sengat mereka nanti.

Dengan menukar pengendali, perkembangan Terengganu sehingga saat ini akan terbantut. Mungkin pengendali asal Croatia yang disebut oleh wartawan tersebut akan membawa pula projek baharu ke bumi Darul Iman.

KPI buruk? Fikir semula pengurusan!

Menurut satu ciapan Twitter oleh pemilik akaun Piang Shankly, terdapat dua atau tiga kem dalam barisan kepimpinan Terengganu yang membawa kepada masalah ini. Pembuat keputusan juga bukanlah ‘peminat’ bola sepak – mungkin bukan yang ahli dan tiada ilmu dalam mengendalikan pengurusan pasukan bola sepak.

Adakah sebarang KPI ditetapkan kepadanya? Dengan berbekalkan pemain muda dan rombakan pasukan yang lebih sederhana musim ini, wajarkan pencapaian kedudukan ke-4 liga dan semifinalis Piala Malaysia dijadikan kayu pengukur KPI tak tercapai? Pencapaian itu adalah yang terbaik berdasarkan apa yang pasukan ada.

Adakah pengendali baharu yang katanya cuba ‘hijack’ posisi Nafuzi Zain itu akan bawa perkara yang lebih baik berbanding apa yang mereka gapai dalam tempoh singkat bersamanya? Mungkin boleh dengan syarat apa yang mereka ada ketika ini seperti gaya permainan dan ketengah bakat muda dikekalkan. Tetapi, mustahillah!

Diharapkan pihak pengurusan memikirkan semula tindakan yang mereka akan ambil nanti. Tiada masa untuk menjilat semula ludah selepas ini apabila nasi sudah menjadi bubur. Memiliki pengendali muda berbakat besar dan calon pengendali terbaik musim ini adalah anugerah terbaik buat Terengganu dan seharusnya dikekalkan.

Leave a Reply