Pengendali Sabah Akui Prestasi Melaka United Semakin Baik Kebelakangan Ini

Saingan Liga Super minggu ke-14, menyaksikan ada beberapa perlawanan bakal berlangsung malam ini dengan Sabah menentang Melaka United antara mencuri tumpuan pemerhati bola sepak tempatan.

Kedua pasukan ini mempunyai momentum terbaik setelah masing-masing berjaya merekodkan kemenangan pada perlawanan lalu untuk tampil lebih bermotivasi.

Sabah dilihat sedikit berkelebihan apabila pasukan tersebut bakal beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Likas sambil ditemani sorakan penyokong tuan rumah.

Walaupun begitu, tuan rumah jelas tidak akan sesekali memandang rendah akan kemampuan lawan kerana prestasi baik jelas dipamerkan Melaka United sejak kebelakangan ini.

Menurut Datuk Ong Kim Swee selaku pengendali Sabah, beliau akui lawan mereka kini tampil dengan perbezaan dari segi corak permainan serta barisan import berkualiti untuk dihadapi mereka.

“Melaka United jika dilihat kebelakangan ini menunjukkan prestasi cukup baik bukan sahaja daripada segi keputusan tetapi corak permainan yang berbeza.

“Kita tahu barisan pemain mereka terutamanya pemain import merupakan pemain cukup berkualiti.

“Seperti saya katakan daripada awal musim semua perlawanan amat penting bagi kita dan tiada beza pun apabila kita bermain dengan MUFC ini di mana kita perlu berada dalam tahap terbaik untuk memastikan kita tidak kehilangan mata,” katanya dalam kenyataan, menerusi Arena Metro.

Pada masa sama, Kim Swee menjelaskan beliau akan mengekalkan barisan pemain yang sama ketika menentang Petaling Jaya City (PJ City) lalu untuk berdepan pelawat.

Menurut beliau, semua pemain yang diturunkan pada perlawanan lalu berjaya mempamerkan aksi yang cukup positif terutama sekali pada separuh masa kedua.

“Semua mereka mengikut arahan dan paling positif adalah mereka menunjukkan semangat juang cukup tinggi walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama, mereka bangkit dengan bermain lebih baik dan mendapatkan dua gol untuk memastikan kita pulang dengan tiga mata,” tambah beliau.

Selain itu, pengendali tersebut turut percaya barisan pemain yang bakal diturunkan malam ini mampu menggalas tanggungjawab dengan baik untuk membawa keputusan positif buat pasukan.

“Pemain-pemain seperti Jackson (De Sauza); Park (Taesu); Dominic (Tan) termasuk Rizal Ghazali masih lagi mengalami kecederaan manakala Baddrol Baktiar masih belum pulih daripada kesihatan.

“Ini pasti akan memberi sedikit kelonggaran di beberapa bahagian namun pemain yang diturunkan ketika menentang PJ City membuktikan mereka mampu dan saya percaya mereka mampu menggalas tugas jika mereka diberikan kepercayaan lagi,” katanya.

Sumber:
Harian Metro

Leave a Reply